Istiqamah syarat dapat pertolongan Allah

KEMENANGAN dalam perjuangan Islam adalah berbeza dengan kemenangan dalam agama atau ideologi lain.

Advertisement

“Istiqamah menjadi syarat kita mendapat pertolongan Allah swt dengan syarat kita tidak lari dari berpegang kepada Islam, tidak melampau dan tidak terpengaruh dengan mereka yang zalim,” kata Ketua Muslimat PAS Perak, Dr Najihatussolehah Ahmad pada Muktamar Dewan Muslimat PAS negeri ke-54, di Taiping, hari ini.

Jelasnya, Allah SWT tidak akan memberi kemenangan tanpa ada usaha dari pejuang Islam, muslimat mesti berusaha ke arah kemenangan di samping muslimat menjaga akhlak,  menutup aurat dengan sempurna serta menjauhi maksiat.

Katanya, penglibatan muslimat sebagai calon dalam pilihan raya bukanlah untuk mendominasi kerusi di parlimen atau Dun namun ia adalah untuk memenuhi tugas untuk tugas membela maruah wanita Islam agar tidak terus diperlekeh atau diperalat oleh musuh-musuh Islam , ia juga bagi memastikan wujudnya wakil untuk suara wanita khususnya bagi para muslimah.

Dewan muktamar di Markas Tarbiyah PAS Air Kuning dipenuhi seramai 192 perwakilan dari 24 kawasan seluruh negeri dan 78 orang pemerhati yang bersedia untuk kekal istiqamah bagi menjana kemenangan PRU14 akan datang.

Muktamar turut dihadiri Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria,  wakil Dewan Ulamak PAS Perak Ustazah Aliah Abd Aziz, Pengarah Jabatan Pilihan raya PAS negeri, Ustaz Mustafa Abd Wahab dan Ustaz Hafeez Sabri wakil Pemuda PAS negeri.

Mengakhiri ucapan, Dr Najihatussolehah berpesan agar seluruh muslimat bersama-sama membina kekuatan serta meneguhkan aqidah perjuangan Islam, meneguhkan diri masing-masing dengan iman dan berterusan dalam menguatkan tarbiyah ruhiyah. – HARAKAHDAILY 9/4/2017