SUNNAH merupakan sumber kedua yang menjadi ikutan dan teladan untuk umat islam selepas al-Quran. Istilah ‘as-Sunnah’ dari perkataan Arab iaitu ath-thariq yang bererti jalan. Dijelaskan menurut Bahasa Arab bahawa perkataan ‘as-sunnah’ ialah ‘ath-thariqah’ membawa erti kebiasaan, perjalanan hidup, atau kelakuan yang terpuji mahapun tercela. Istilah Sunnah diulang-ulang dalam kitab hadis yang memberi erti ‘perjalanan’ dan ‘perilaku.’ (an-Nihayah 2;409) Diertikan perkataan as-Sunnah menurut Ibnu Rajab, Sufyan ats-Tsauri adalah “perlakukanlah Ahli Sunnah dengan baik kerana mereka adalah orang-orang asing.” Sunnah yang dimaksudkan oleh imam-imam itu memberi pengertian kepada Nabi Muhamad SAW dan para sahabat-Nya yang bersifat suci dari syubhat dan syahwat.
Dalam sebuah hadis disebutkan:
“Barang siapa melakukan Sunnah yang baik dalam Islam, maka selain memperoleh pahala bagi dirinya, juga mendapat tambahan pahala dari orang yang mengamalkan sesudahnya, dengan tanpa mengurangi sedikitpun pahala mereka. Dan barang siapa melakukan Sunnah yang jelek dalam islam, maka selain memperoleh dosa bagi dirinya, juga mendapat tambahan dosa dari orang yang melakukan sesudahnya dengan tanpa mengurangi sedikitpun dosa mereka.” (HR Muslim)
Maka dengan itu, jika kita meneliti apa yang diberitahu oleh Allah dan Rasul-Nya, sesungguhnya amalan Sunnah memiliki keistimewaan luar biasa yang boleh menyempurnakan amalan wajib yang kita kerjakan dalam kehidupan seharian.
Rasulullah SAW mengamalkan amalan Sunnah dalam kehidupan seharian beliau malah Allah SWT telah menyeru setiap umatnya agar beribadah dan memiliki akhlak peribadi yang mulia. Amalan Sunnah adalah amalan-amalan apabila melakukannya akan mendapat pahala dan tidak berdosa jika kita meninggalkannya, “Sunnah itu bererti ketetapan dari Nabi Muhammad SAW yang bukan fardhu dan bukan wajib.” (asy-Syaukani, Irsyadul Fuhul, him. 31).
Amalan Sunnah menjadi mudah apabila setiap manusia mempunyai niat dan berusaha untuk mengamalkannya dalam kehidupan harian. Namun, amalan Sunnah Nabi dan para sahabat-Nya terdahulu sering dilupakan oleh masyarakat masa kini kerana mungkin sebahagian dari mereka menganggap cukup dengan mengamalkan amalan-amalan wajib harian sahaja dan amalan Sunnah hanya kadang-kadang dilakukan itupun jika mereka mempunyai kelapangan waktu
Apakah diantara amalan-amalan sunat Nabi Muhammad SAW yang jarang dilakukan oleh kaum muslimin?
Pertamanya adalah Solat Tahajud. Solat Tahajud lebih dikenal dengan Qiyamullai atau solat malam yang mempunyai fadhilat kebaikan dan keistimewaan untuk diri kita jika mengamalkannya.
Saidina Umar Al-Khattab menyatakan, “Sesiapa mengerjakan solat malam (tahajud) dengan khusyuk nescaya dianugerahkan Allah sembilan perkara, lima di dunia dan empat di akhirat.”
Tambahan pula, Solat malam atau Solat Tahajud merupakan satu peluang keemasan ditawarkan kepada manusia untuk mengeratkan perhubungan dengan Allah dan pintu langit terbuka luas untuk menerima taubat hamba-Nya. Pada masa itu, para Malaikat akan membawa kendi emas untuk mengumpul air mata taubat hamba-Nya bagi menyiram api neraka yang sedia menanti tubuh manusia di akhirat nanti.
Yang kedua adalah dengan mendahulukan kaki kanan saat memakai sandal dan kaki kiri saat melepaskannya. Nabi Muhammad SAW menggalakkan setiap umatnya supaya mendahulukan anggota kanan dan kemudiannya diikuti anggota kiri dalam setiap perkara yang dilakukan seharian.
Diriwayatkan dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Jika kalian memakai sandal maka dahulukanlah kaki kanan. Dan jika melepaskannya, maka dahulukanlah kaki kiri. Jika memakainya maka hendaklah memakai keduanya atau tidak memakai keduanya sekali.” (HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Amalan ketiga yang dilakukan Nabi Muhammad SAW adalah membaca al-Quran, ia merupakan zikir terbaik yang mendatangkan banyak kebaikan bagi yang membacanya. Dengan membaca al-Quran kita akan peroleh ketenangan dan kedamaian jiwa. Malah, membaca al-Quran dapat meningkatkan tahap kecintaan dan ketakwaan terhadap Allah. Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya al-Quran akan datang sebagai pemberi syafaat bagi sahabatnya (orang yang membacanya).” (HR Muslim)
Amalan rutin keempat Nabi Muhammad SAW yang setiap hari dilakukan adalah dengan melakukan solat Dhuha yang mempunyai banyak kelebihan jika sentiasa mengamalkannya. Kelebihan bagi orang yang mengerjakan solat Dhuha adalah sepanjang hari berada dalam penjagaan dan perlindungan Allah.
Kelima amalan dilakukan Nabi Muhammad SAW setiap hari adalah dengan mengerjakan solat berjemaah tepat pada waktunya, Nabi SAW bersabda:
“Kalau saja manusia tahu pahala panggilan shalat dan shaf awal, kemudian mereka tidak bisa mendapatkannya selain harus dengan mengundi, pasti mereka akan mengundi.” ( HR Muslim)
Berikutnya, amalan keenam yang diamalkan oleh Nabi Muhammad SAW adalah dengan sentiasa bersedekah. Umat Islam umumya digalakkan memberi sedekah sebagai tanda syukur dengan segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT. Selain itu, bersedekah juga dapat menghapuskan dosa-dosa lalu dan menjinakkan hati supaya tidak cinta pada dunia yang menjadi kelemahan umat Islam zaman sekarang.
Ketujuh, Nabi Muhammad SAW adalah seorang yang sentiasa menjaga dan memelihara wudhu, malah sentiasa menjaga kesucian, sabda-Nya:
“Siapa yang berwudhu dan membaguskan wudhunya,kesalahan-kesalahannya akan keluar dari jasadnya, bahkan sampai keluar dari ujung-ujung kukunya.” (HR Muslim)
Amalan terakhir yang diamalkan Nabi Muhammad SAW adalah dengan beristighfar. Malah, amalan ini sangat mudah dan boleh dilakukan tidak mengira waktu dan tempat kita berada. Amalan berzikir di dalam hati pada setiap masa dan saat membuatkan kita sentiasa mengingati Allah. Sabda Nabi SAW:
“Demi Allah aku selalu beristighfardan bertaubat kepada-Nya lebih dari 70 kali dalam sehari.” (HR Muslim)
Itulah merupakan antara amalan harian yang Nabi Muhammad SAW sentiasa lakukan dalam kehidupan harian. Namun, tentu masih banyak amalan-amalan Sunnah lain yang diamalkan oleh Rasulullah SAW. Oleh itu, semoga kita tergolong dalam golongan umat Nabi Muhammad yang sentiasa istiqamah dalam mengamalkan amalan Sunnah disamping tidak meninggalkan amalan harian yang diwajibkan keatas setiap umat Islam. – HARAKAHDAILY 8/4/2017
Penulis ialah mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia