PAS berbudi, adakah ‘rakan’ berbahasa?

- Advertisement -

SETELAH kejayaan membentangkan usul Pindaan RUU 355 di parlimen Khamis lalu, ketika Presiden PAS masih dalam perjalanan ke penginapan beliau mungkin, terus sahaja diadakan satu sidang media bagi ‘mendedahkan’ kepada dunia kononnya bahawa orang yang rapat dengan pimpinan PAS, telah didapati menerima wang 1MDB.

- Advertisement -

Cubaan menenggelamkan kejayaan pembentangan RUU 355 itu oleh pereka cerita fitnah (yang gagal) setebal 90 muka surat kepada mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang juga orang kanan PKR suatu ketika dahulu, menerusi Naib Presiden PKR sekarang Rafizi Ramli.

Bagaikan ketagihan memfitnah, Rafizi terus dan terus berusaha gigih membaiki mutu fitnahnya. Malang bagi beliau, di sebalik mutu fitnah yang diharapkan semakin bertambah baik, beliau melakukannya dengan mutu yang semakin teruk. Rafizi patut lebih tekun belajar memfitnah, terutama apabila sudah berbaik-baik dengan Tun Mahathir sekarang ini, orang yang PKR kata memfitnah DS Anwar suatu masa dahulu.

Dengan menyebut ‘orang yang rapat’ dengan pimpinan PAS sahaja, adakah berkualiti fitnah itu? Jika benar sekalipun ‘rapat’, adakah rakan rapatnya juga terpalit kalau seseorang itu berbuat onar? Jika begitu, Rafizi juga sepatutnya dipertanggungjawabkan memfitnah DS Anwar Ibrahim kerana beliau sekarang sudah rapat dengan Tun Mahathir. Dan Rafizi juga boleh disabitkan sebagai golongan pembenci Islam kerana rapat dengan DAP yang nyata anti Islam itu. Mungkin boleh kita kata Rafizi jenis tidak amanah suka bawa lari kerusi parlimen atau Dun kerana rapat dengan ahli parlimen PAN yang telah melarikan kerusi PAS secara batil.

Fitnah yang rendah kualiti ini juga dikesan kerana dia mahu rakyat menunggu sehingga berminggu-minggu sebelum dia mendedahkan bahagian yang seterusnya. Ini tidak lebih hanya mahukan rakyat terpaku menunggu, dan terus menuduh PAS, agar tumpuan kejayaan membentang pindaan RUU 355 itu dilupakan rakyat. Politik kotor gaya Machiavelli, matlamat menghalalkan cara.

Apabila sampai waktunya nanti, dialih pula topik lain, sebagaimana fitnah yang dia kenakan terhadap Tan Sri Khalid. Senada beliau dengan Adun kuasa 10. Suatu ketika dahulu Adun itu mengumumkan dalam masa tiga bulan beliau akan mendedahkan sesuatu tentang PAS. Kemudian selepas tiga bulan hilang tanpa apa-apa berita, tapi dialih pula cerita lain. Mereka mahu sentiasa timbul di permukaan tasik politik tanah air, takut dilupakan rakyat kerana sudah terlalu sarat dengan dosa dan noda.

Jika benar Rafizi anak jantan, buktikan segera pertuduhan itu. Hanya orang yang kurang akal sahaja yang membuat tuduhan tanpa bukti kukuh kemudian menyuruh tertuduh membuktikan diri tertuduh tidak bersalah. Sedangkan berbelas tahun PKR melawan tuduhan yang dibawakan bukti-bukti terhadap salah laku Ketua Umum mereka, kini mereka mengubah sistem pembuktian setelah berkawan dengan Tun Mahathir.

Sungguh dangkal dan pengecut tindakan memfitnah ini. Jika benar sudah membenci PAS, dengan ada bukti yang jelas, laporkan sahaja kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dan mengambil tindakan agar nanti mudah pada PRU, tiada gangguan daripada PAS. Langkah ke Putrajaya kamu akan menjadi lebih mudah. Itupun jika rakyat memilih kamu kerana gembira dengan mainan politik jijik kamu ini.

PAS sedang menunggu dengan sabar akan kedatangan hari penentuan tahaluf iaitu Muktamar Tahunan PAS di Kedah nanti. PAS sentiasa berbudi, tetapi adakah rakan PAS itu berbahasa? Atau rakan itu hanya melukut di tepi gantang, kemudiannya mahu menjadi tuan, menjadikan PAS budak suruhan, mahu PAS tunduk dan patuh kepada mereka. Islam tidak mengajar untuk mengkhianati rakan, tidak melampau dalam bermusuh. Tetapi Islam mengajar agar menjaga maruah diri jika dipijak rakan atau musuh.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
11 Rejab 1438 / 8 April 2017 – HARAKAHDAILY 8/4/2017

- Advertisement -