Hukum darah keluar sebab makan ubat

- Advertisement -

AL-KAFI #600: HUKUM DARAH KELUAR DISEBABKAN MEMAKAN UBAT
Ditulis oleh Muhammad Mushfique Bin Ahmad Ayoup @ Ayub
Diterbitkan: 07 April 2017

- Advertisement -

Soalan: Saya ingin bertanya bagi pihak isteri saya. Ketika hari terakhir haid selama 14 hari,  dia telah memakan ubat (provera) dari hospital untuk mengeluarkan darah yang menebal didinding rahim selama 5 hari (2biji 3kali sehari). Darah keluar setelah tamat tempoh memakan ubat tersebut. Adakah darah yang keluar kerana memakan ubat tersebut dikira haid dan bolehkah menunaikan solat?

Jawapan: Sebelum kami menjawab persoalan di atas, suka bagi kami untuk menyatakan terlebih dahulu berkaitan definisi haid. Haid adalah darah yang keluar dari kemaluan depan wanita dalam keadaan normal bukan kerana melahirkan anak pada waktu yang diketahui berbeza dengan nifas. [Lihat: al-Iqna’, 137]

Di dalam mazhab al-Syafie tempoh minimum bagi haid adalah sehari semalam. Manakala tempoh maksimum bagi haid adalah selama 15 hari. [Lihat: Minhaj al-Tholibin, 37] Jika darah yang keluar selepas daripada itu, maka ia dihukum sebagai darah istihadah atau darah yang keluar disebabkan oleh penyakit.

Untuk itu, bagi darah yang keluar selepas daripada 15 hari maka ia tidak dikira sebagai darah haid dan solat adalah wajib ditunaikan pada waktu itu.

Para fuqaha’ telah meletakkan hukum bagi wanita istihadhah (keluar darah disebabkan sakit) ini di dalam kategori orang yang uzur dalam erti kata lain orang yang terdapat padanya hukum yang khusus bagi golongan seperti ini. Para fuqaha’ juga telah meletakkan beberapa garis panduan bagi golongan seperti ini dan di sini kami ringkaskannya seperti berikut: [Lihat Al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 122-124/1]

Solat dan juga ibadah lain yang memerlukan wudhu’ tidak gugur disebabkan darah yang keluar selepas daripada tempoh maksimum haid tersebut.

Perlulah dibersihkan dahulu bahagian kemaluan dan kemudian diletakkan sesuatu yang boleh menutup bahagian kemaluan tersebut seperti tuala wanita.

Wajib segera menunaikan solat selepas berwudhu’ bagi mengurangkan hadas tersebut melainkan jika disebabkan oleh maslahah seperti mendengar azan, menunggu iqamah, menunggu jemaah untuk hadir solat berjemaah, mencari kiblat, menuju ke masjid, mencari sutrah dan lain-lain lagi.

Wajib berwudhu’ bagi setiap kali solat fardhu dan dibolehkan bagi wudhu’ tersebut untuk satu solat fardhu dan beberapa solat sunat yang mengiringi solat fardhu tersebut.

Justeru, wajib bagi isteri tersebut untuk menunaikan solat sekalipun ada darah yang keluar semasa 15 hari suci. Jika darah itu berterusan keluar sehingga lebih daripada 15 hari waktu suci dan memasuki fasa kitaran baru bagi haid, maka hendaklah dianggap darah yang keluar itu sebagai darah haid dan ditinggalkan solat.

Semoga Allah SWT memberi kita taufiq dan hidayah dalam melaksanakan setiap amal ibadah kita. Amin.

Wallahua’lam

- Advertisement -