Jelas pekung penentang RUU 355

DEWAN Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Perak) merakamkan rasa kesyukuran dan mengucapkan tahniah diatas pembentangan cadangan pindaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 yang dibacakan oleh Yang Berhormat Marang Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan di sokong hujah Yang Berhormat Kota Baharu Datuk Haji Takiyuddin Hassan.

Advertisement

Pembentangan dengan penghuraian pensejarahan juga penjelasan yang sangat jelas dalam sidang Parlimen seharusnya dapat difahami dengan baik oleh ahli Parlimen dan seluruh rakyat yang menyaksikan secara langsung semalam.

Namun begitu, tindakan tidak matang ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang menghalang seawal pembentang bermula dan ditutup dengan makian, cacian, sindiran dan tuduhan tidak berasas, amat dikesali. Akhlak yang buruk ditunjukkan oleh ahli Parlimen PH jelas dilihat  segenap lapisan masyarakat yang mengikuti secara langsung.

DPPN Perak sangat terkilan dengan tindakan Yang Berhomat Gopeng, Dr. Lee Boon Chye juga beberapa ahli Parlimen PH yang diketuai Yang Berhormat Gelang Patah, Lim Kit Siang seolah melupakan petugas pilihan raya dalam kalangan muslim yang bekerja juga pengundi yang memenangkan mereka di PRU13.

Lebih mendukacitakan apabila ada ahli Parlimen muslim terutamanya Yang Berhomat Sepang dan Yang Berhormat Shah Alam daripada PAN seakan-akan bersekongkol membantah cadangan pindaan RUU355 ini. Apakah mereka masih keliru atau sengaja mengelirukan masyarakat bukan Islam berhubung kedudukan mahkamah syariah dan hukumannya?

Dalam sidang media PH semalam, Yang Berhormat Pandan, Rafizi Ramli dengan tiada etika membuat tuduhan dan fitnah tidak berasas bahawa PAS bersandiwara bersama Umno. Umum sedia maklum bahawa Rafizi insan yang terkenal dengan politik persepsi. Negara tidak akan lupa bagaimana Rafizi menjatuhkan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim dengan fitnah dan penipuan kemudian Rafizi membuat permohonan maaf selepas didapati pertuduhannya tidak benar. Masih boleh percayakan kita kepada insan sebegini?

Pembentangan RUU 355 jelas menunjukkan hitam putih ahli Parlimen yang mengutamakan agenda politik dalam meraih undi berbanding kesatuan ummah dan kesejahteraan rakyat juga negara. Budaya politik persepsi dan berkepentingan ini wajar ditinggalkan lalu diamalkan budaya politik matang dan sejahtera. DPPN Perak istiqamah dalam usaha memartabatkan syariat Allah dan mengutamakan kesejahteraan rakyat di Malaysia khususnya Perak.

DPPN Perak sekali lagi merakamkan sekalung penghargaan dan ucapan tahniah juga terima kasih buat Tuan Guru Presiden serta seluruh ahli parlimen yang bersama majoriti rakyat muslim bagi memperjuangkan RUU 355.

DPPN Perak juga mengucapkan terima kasih kepada Tuan Speaker Parlimen Yang Berhormat Tan Sri Datuk Seri Panglima Pandikar Amin bin Haji Mulia diatas ruang membentangkan RUU 355 dan ketegasan beliau dalam mempengerusikan Dewan Rakyat. – HARAKAHDAILY 7/4/2017

Penulis ialah Ketua Penerangan Pemuda PAS  Perak