SOP temuduga Malindo Air perlu jaga susila

- Advertisement -

AHLI Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusoff menggesa pihak Malindo Air dan kerajaan memastikan Standard Operating Prosedur (SOP) sewaktu sesi temuduga oleh Syarikat Penerbangan terutamanya kepada pemohon wanita hendaklah menepati etika dan kesusilaan.

- Advertisement -

Katanya, proses pengambilan kakitangan hendaklah dibuat secara bermaruah dan bertatasusila demi menjaga hak, maruah dan kehormatan calon serta kesejahteraan mereka.

“Proses tersebut walau dengan keizinan calon adalah sama sekali tidak munasabah kerana calon dalam keadaan pihak terdesak yang memerlukan pekerjaan berhadapan dengan majikan yang lebih ‘superior’,” katanya kepada Harakahdaily.

Bagaimanapun, katanya, aset terpenting krew penerbangan adalah ketrampilan peribadi, layanan mesra dan kematangan serta pengetahuan, kecantikan wajah dan bentuk tubuh adalah suatu nilai tambah yang sama sekali tiada kompromi untuk dieksploitasi.

Sebelum ini, akhbar The Malay Mail bertarikh 5 April 2017 memaparkan gambar belakang wanita bercoli dan bertajuk “Stripped for Job” yang melaporkan bahawa Syarikat Penerbangan Malindo Air, dalam satu ‘walk in’ temuduga telah meminta calon temuduga membuka pakaian, ‘pantyhose’ dan mengangkat skirt mereka.  

Pihak Malindo Air berkata majikan berhak meminta calon pramugari membuka baju kerana perlu memastikan sama ada pemohon mempunyai parut, jerawat atau tatoo yang boleh dilihat melalui pakaian seragam.

Mengulas lanjut perkara itu, Zailah turut mengecam tindakan akhbar The Malay Mail yang memaparkan belakang wanita tanpa pakaian dan bercoli sahaja bagi tajuk hangat “Stripped for Job”.

“Eksploitasi gambar wanita seksi di media adalah tidak wajar dan mesti dihentikan kerana ia bertentangan dengan nilai dan etika kewartawanan serta bertentangan dengan Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(a) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301],” katanya.

Justeru, beliau meminta pihak media menghentikan eksploitasi tubuh wanita sebagai pelaris tajuk akhbar sebaliknya media terus komited dalam mengangkat imej dan maruah wanita berdasarkan kecerdikan akal, kematangan tindakan dan  profesionalisma mereka katanya. – HARAKAHDAILY 6/4/2017

- Advertisement -