Adakan dana, caruman khas beli rumah mampu milik

- Advertisement -

SEBELUM ini saya pernah menulis tentang cabaran-cabaran yang dihadapi oleh golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki rumah mampu milik yang tawarkan oleh kerajaan.

- Advertisement -

Kali ini saya akan kemukakan pula beberapa cadangan yang mungkin dapat diperhalusi oleh pihak kerajaan untuk merealisasikan matlamat tersebut :

1.Kerajaan perlu mewujudkan satu dana dan tabungan perumahan khas untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

2.Golongan yang dikenalpasti sebagai berpendapatan rendah dan sederhana, termasuklah golongan belia yang baru bekerja, boleh mencarum dalam tabungan tersebut untuk tujuan membeli rumah mampu milik yang disediakan oleh pihak kerajaan.

3.Seandainya tabungan tersebut masih tidak mencukupi untuk mereka membeli rumah, mereka boleh memohon pembiayaan melalui satu agensi khusus yang diwujudkan oleh kerajaan untuk menguruskan dana perumahan mampu milik tadi.

4.Syarat-syarat kelulusan pembiayaan yang ditetapkan melalui agensi tersebut hendaklah tidak ketat seperti syarat-syarat kelulusan pembiayaan bank.

5.Asalkan pemohon telah mencarum dalam tabungan pembelian rumah mampu milik dan caruman mereka telah mencapai satu tahap minimum yang ditetapkan, mereka layak dipertimbangkan menerima pembiayaan tersebut untuk membeli rumah mampu milik.

6.Dalam masa yang sama, sistem pemilihan untuk pembelian rumah mampu milik juga perlu ditambah baik. Pemilihan bukan sekadar berdasarkan kepada kelayakan pendapatan semata-mata, tetapi pemilihan juga hendaklah berdasarkan kepada sejauh manakah pembeli-pembeli tersebut telah bersedia untuk membeli rumah dan mempunyai ilmu asas pengurusan kewangan diri dan asas-asas ilmu berkaitan pembelian hartanah.

7.Pendedahan tersebut perlu di lakukan oleh kerajaan melalui program celik kewangan dan hartanah sejak awal lagi selepas seseorang itu memasuki alam pekerjaan, terutamanya kepada mereka yang telah mencarum di dalam skim caruman pembelian rumah mampu milik tadi.

7.Ini untuk mempastikan pembeli yang layak memiliki rumah mampu milik kelak bukan sahaja mempunyai kelayakan untuk membeli dari segi kewangan dan pendapatan tetapi juga mampu menguruskan kewangan dan harta yang mereka bakal beli dengan baik.

Moga-moga cadangan ini dapat diperhalusi oleh pihak kerajaan dan dapat serba sedikit mengatasi masalah kesukaran golongan berpendapatan rendah dan sederhana termasuklah golongan belia untuk memiliki rumah mampu milik yang disediakan oleh kerajaan.

HartaGuam bersedia memberikan input dan pandangan lanjut kepada pihak kerajaan untuk membantu merialisasikan matlamat yang diharapkan. – HARAKAHDAILY 5/4/2017

Penulis ialah Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam)

- Advertisement -