Sedia memerintah: Pemuda PAS sedia tawan Perak

- Advertisement -

“SEDIA Memerintah” merupakan satu tema bagi menyatakan kesediaan Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Perak) untuk kembali memerintah negeri Perak.

- Advertisement -

Pemilihan tema tersebut memberikan isyarat awal bahawa Pemuda PAS Perak sedia menggalas kembali tanggungjawab pemerintahan dan urus tadbir negeri Perak berasaskan sistem pentadbiran Islam selaras dengan al-Quran serta syariat Islam.

Pemuda PAS Perak ke arah menyediakan pemimpin dalam kalangan anak muda Perak yang kuat dan amanah dalam memimpin melalui sinergi tarbiyyah, dakwah dan siasah bahkan Pemuda PAS Perak telah melalui teori dan praktikal dalam mempersiapkan diri menjadi pemimpin muda qawiyul amin.

Ketegasan pendirian itu dinyatakan Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Akmal Kamaruddin ketika menyampaikan ucaptama di Muktamar Pemuda PAS Perak ke-34 lalu.

Akmal menyatakan kesediaan menghantar calon dalam kalangan Pemuda PAS Perak bagi bertanding pada pilihanraya umum akan datang.

“DPPN Perak telah mengenal pasti pemuda yang berkarisma dan berpotensi untuk menyarung jersi ini.

“Insya-Allah kita akan menghantar Yang Berhormat di Dewan Undangan Negeri Perak, sebahagiannya datang dari pemuda PAS Perak yang akan membawa suara anak muda.

“Pemuda PAS Perak juga menyambut idea Kerajaan Teknokrat. Kerajaan Teknokrat adalah sebuah pemerintahan diterajui oleh kumpulan pakar yang mempunyai ilmu dan kemahiran tinggi dalam bidang masing-masing sama ada bidang agama, ekonomi, pendidikan, keselamatan, kesihatan, sosial dan lain-lain.

“Amalan Kerajaan Teknokrat ini tidaklah sama seperti Itali, Greece, Romania, Jerman dan lain-lain turut pernah mengamalkannya.

“Kerajaan Teknokrat ini disesuaikan dengan sosio-politik kita dengan corak pentadbiran yang mengikut lunas Islam. Justeru Pemuda PAS Perak  sedang giat mempersiapkan pemuda terutama mahasiswa di kampus bagi melahirkan teknokrat dalam kalangan pemuda PAS dalam mentadbir negeri Perak kelak,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 4/4/2017

- Advertisement -