Ikhlas kunci rezeki berkat

- Advertisement -

DALAM melakukan sesuatu pekerjaan kita mestilah melaksanakannya dengan  ikhlas dan penuh rasa tanggungjawab bukan sahaja dari aspek ibadah seperti zikir, solat dan puasa malah ia juga termasuklah kerja-kerja harian sebagai contoh membantu orang yang berada dalam kesusahan.

- Advertisement -

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah lagi (wahai Muhammad): Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat kepada-Nya”. (az-Zumar: 11) .

Dalam Islam, kita diseru untuk sentiasa mengikhlaskan diri dalam melakukan sesuatu perkara kerana keikhlasan yang dilakukan sudah pasti mendapat ganjaran yang hebat di sisi Allah kelak.

Dalam konteks Islam, ikhlas bermaksud melaksanakan sesuatu perkara itu semata-mata kerana Allah dan tidak mengharapkan balasan atau pujian sama ada dari manusia sendiri mahupun Allah SWT.

Perlu dipastikan juga kerja yang dilakukan hendaklah kerja yang berkat iaitu pekerjaan yang tidak melanggar syariat Islam. Keberkatan dan keikhlasan amat berkait rapat dalam melaksanakan sesuatu perkara yang telah diamanahkan. Jika sesuatu tugas yang dilakukan itu ikhlas akan tetapi ianya  datang dari sumber yang tidak dibenarkan syarak mana mungkin kita boleh mendapatkan rezeki yang diredhai oleh Allah?

Jadi usahlah kita berasa riak dan takabur dalam melaksanakan sesuatu tugas kerana kunci rezeki itu datangnya dari Allah dan Dialah yang pemberi rezeki sejak alam rahim sehinggalah kita kembali kepada-Nya.

Terdapat beberapa perkara yang boleh kita amalkan untuk memperoleh rezeki yang berkat selain mengikhlaskan diri dalam melakukan sesuatu perkara antaranya ialah solat dhuha. Solat dhuha juga disebut sebagai magnet rezeki dan kita perlulah istiqamah dalam melakukannya.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Solat dhuha itu mendatangkan rezeki dan menjauhkan kemiskinan dan tidak ada orang yang memelihara solat kecuali orang yang bertaubat “. (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Namun terdapat segelintir orang beranggapaan mengerjakan solat dhuha mampu untuk mendapat  rezeki yang lebih. Jadi kita perlulah perbetulkan niat terlebih dahulu dan bersolatlah kerana Allah dan bukannya bersolat disebabkan untuk mendapatkan sesuatu.

Selain solat dhuha, bersedekah juga merupakan salah satu amalan yang boleh kita lakukan untuk mendapat rahmat dari Allah SWT. Perlu diingat bahawasanya dalam rezeki kita ada rezeki orang lain juga.

Jadi kita digalakkan supaya sentiasa bersedekah kerana dengan bersedekah mampu menarik rezeki yang melimpah ruah  kepada pemberi sedekah dan insya-Allah pintu rezeki kita akan sentiasa terbuka luas dan yang paling penting adalah niat kita bersedekah adalah ikhlas semata-mata kerana Allah SWT.

Untuk mendapat rezeki yang tidak tersekat, kita mestilah terima sesuatu kerja yang diamanahkan dengan hati yang terbuka. Janganlah sesekali kita mengeluh atau merungut seolah-olah kita tidak bersyukur dengan nikmat yang diberikanNya. Allah tidak akan membebani seseorang di luar kemampuannya.

Jadi secara kesimpulan, kunci rezeki hanya berada di tangan Allah SWT dan Dia akan membuka pintu rezeki seluas-luasnya kepada hamba-hamba-Nya yang sentiasa ikhlas dan bersyukur. Teruskanlah berdoa dan jangan mudah putus asa kerana cepat atau lambat dikabulkan doa kita adalah urusan Allah SWT. – HARAKAHDAILY 4/4/2017

Penulis ialah pelajar di Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia.

- Advertisement -