Lebih 700 kes peneroka bandar selesai sejak 2008

halimah
- Advertisement -

SEBANYAK 747 keluarga peneroka bandar sudah diberikan hak milik tanah sejak 2008, kata Datuk Iskandar Abdul Samad.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar Negeri Selangor itu berkata, ia melibatkan penempatan di dua pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Perbandaran Klang dan Majlis Daerah Kuala Selangor.
 
Katanya, ia termasuk penempatan di Kampung Sungai Sireh dengan 79 keluarga, Tanah Mardi (137), Kampung Jawa Estate (66), Kampung Pecah Batu (78), Kampung Baru Lembah Pantai (33), Kampung Seri Makmur (60), Jaya Setia (44), Kampung Seri Aman (78) dan Kampung Sri Sentosa (172).

“Untuk makluman, tiada kos dibelanjakan Kerajaan Negeri sehingga 2015 untuk penyelesaian setinggan,” katanya dipetik SelangorKini.

Beliau ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Selat Klang, Dr Halimah Ali berhubung pencapaian penyelesaian setinggan di negeri itu pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di Shah Alam, hari ini.

Menurutnya, terdapat 2,542 keluarga tinggal di penempatan setinggan melibatkan sembilan daerah di Selangor.

Katanya, kerajaan negeri masih mengekalkan dasar merobohkan penempatan peneroka bandar baru sementara penempatan sedia ada atau yang dibawa ke mahkamah dipertimbang mengikut keperluan semasa.

“Dasar kita untuk kes masih belum berjaya diselesaikan adalah melalui cara berhemah dan mengambil kira pandangan semua termasuk peneroka sendiri.

“Kita akan mengenalpasti masalah peneroka terlebih dahulu sebelum diputuskan sama ada perobohan akan dijalankan atau dikekalkan di atas tapak,” ujarnya.

Tambahnya, pada masa sama, Rumah Selangorku juga ditawarkan kepada peneroka bandar yang layak memohon untuk memiliki rumah.

- Advertisement -