Mujur umat Islam sudah ada Mahkamah Syariah

- Advertisement -

SEMASA menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2016 pada 1 Disember 2016, Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa kerajaan akan mengambil alih Pindaan terhadap Rang Undang-Undang 355, berkaitan Akta Mahkamah Syariah, Bidang Kuasa Jenayah 1965 yang dibawa Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

- Advertisement -

“Kepada yang bukan beragama Islam usahlah bimbang kerana tidak akan tertakluk di bawahnya dan kerajaan sedang mengkaji dengan halus agar tidak berlakunya unsur penghukuman dualisme,” begitulah cara PM untuk memujuk rakan-rakannya di BN agar bersetuju.

Pada 18 Mac 2017, pendirian kerajaan masih sama jika dinilai daripada apa yang diberitahu Timbalan Najib, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada Utusan Malaysia.

Zahid sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan BN bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) akan membentangkan sendiri RUU 355 di sidang Parlimen kali ini yang bakal berakhir 6 April ini.

Keputusan itu katanya selaras dengan “hasrat Najib yang begitu komited mengetengahkan hasrat berkenaan tanpa mengganggu-gugat kepentingan kaum dan agama lain di negara ini”.

“RUU 355 akan dibentang sendiri oleh kerajaan di Parlimen tidak lama lagi. Insya Allah dengan doa untuk kita menyatukan orang Melayu. Biarlah kita kehilangan segelintir ‘kawan’ kita, tapi kita akan dapat ‘kawan baru’ yang kumpulannya lebih besar bersama kita.

“Kawan baharu’ kita ini mungkin dulu musuh politik kita, tapi mereka sudah faham untuk sama-sama tangani masalah (berkaitan Islam) dengan tidak mengetepikan agama lain,” kata Zahid yang dipetik Utusan.

Namun, segalanya menjadi jelas pada 30 Mac 2017 apabila Najib mengumumkan bahawa komitmennya tidak akan diteruskan, dan kerajaan BN tidak akan membentangkan RUU 355 atas dasar konsensus. Ini jauh berbeza dengan apa yang dilaungkan Najib di dalam ucapan dasar presiden Umno.

Dengan penentangan terhadap RUU 355 yang disemarakkan melalui perlumbaan antara MCA dan DAP untuk muncul sebagai hero yang menggagalkan RUU 355, tekanan daripada BN Sarawak dan perpecahan yang bakal berlaku, dan juga kelemahan diri sendiri yang dibelenggu persepsi negatif dan kejatuhan populariti yang teruk akibat skandal 1MDB, tindakan Najib tidaklah mengejutkan.

Kini, persoalan timbul pada siapa ‘kawan lama’ yang Umno pada asalnya sanggup ketepikan demi RUU 355 menurut Zahid, tapi akhirnya Umno mengalah sehingga membiarkan RUU 355 dalam keadaan terumbang-ambing?

Namun, setiap peristiwa ada hikmahnya. Episod RUU 355 telah melondehkan perangai kebanyakan sikap orang politik. Ada yang sanggup mengalah, ada yang sengaja mencari alasan menentang, ada yang mengalakkan orang menentang, ada yang tidak membuat persiapan rapi dan ada yang terus istiqamah walau apa terjadi.

Melihat nasib yang menimpa RUU 355, dan juga penentangan yang sebegitu hebat terhadap RUU 355, mujurlah Mahkamah Syariah sudah diwujudkan di negara ini dari awal lagi.

Kalau tidak, rakyat beragama Islam sudah tentu boleh terbayang nasib yang bakal menimpa usul untuk memperkenal Mahkamah Syariah dengan pimpinan negara yang ada hari ini dan penentangan yang terpaksa dihadapi oleh usul tersebut berdasarkan episod RUU 355.

Menariknya, tiada siapa yang tahu bagaimanakah isu ini akan mempengaruhi minda masyarakat beragama Islam. Yang pasti, episod RUU 355 akan mempunyai sahamnya di peti undi pada Pilihan raya Umum ke-14 nanti. – HARAKAHDAILY 2/4/2017

- Advertisement -