Hukum nikah syighar

- Advertisement -

AL-KAFI #598: HUKUM NIKAH SYIGHAR
Ditulis oleh Muhammad Fahmi Rusli
Diterbitkan: 01 April 2017
 
Soalan:

- Advertisement -

Apakah yang dimaksudkan dengan nikah syighar dan apakah hukumnya ?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji dan syukur kami ucapkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam dipanjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Nikah syighar adalah suatu bentuk perkahwinan yang mana seorang lelaki itu mengahwinkan anak perempuannya atau sesiapa yang berada di bawah wilayahnya seperti anak perempuan atau saudara perempuannya kepada lelaki lain dengan syarat lelaki itu turut mengahwinkan anak perempuan atau saudara perempuannya kepada lelaki tersebut. Di antara maksud lain bagi syighar adalah perbuatan anjing yang mengangkat sebelah kakinya untuk kencing. Maka sebahagian ulama berpendapat, beginilah buruknya perbuatan nikah syighar sama seperti buruknya keadaan anjing tersebut. Lihat Ihkam Al-Ahkam Syarah Umdah Al-Ahkam, Ibn Daqiq Al-Eid (2/559).

Perbuatan nikah syighar ini dilarang di sisi syarak dan ini berdasarkan beberapa riwayat yang sahih. Di antaranya adalah sebuah riwayat daripada Saidina Abdullah Ibn Umar R.anhuma yang berkata:

 أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم نَهَى عَنِ الشِّغَارِ، وَالشِّغَارُ أَنْ يُزَوِّجَ الرَّجُلُ ابْنَتَهُ عَلَى أَنْ يُزَوِّجَهُ الآخَرُ ابْنَتَهُ، لَيْسَ بَيْنَهُمَا صَدَاقٌ‏

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah S.A.W melarang perbuatan al-Syighar. Dan al-Syighar adalah seseorang lelaki itu mengahwinkan anak perempuannya kepada seorang lelaki lain dengan syarat lelaki tersebut mengahwinkan anak perempuannya juga kepadanya tanpa sebarang mahar di antara keduanya.
Riwayat Al-Bukhari (5112)

Nas di atas jelas menunjukkan berkenaan bentuk berlakunya nikah syighar dan juga larangan Rasulullah S.A.W berkenaan hal tersebut. Larangan di dalam hadis tersebut jelas menunjukkan bahawa perbuatan ini adalah haram hukumnya. Ini berdasarkan sebuah kaedah fekah yang masyhur:

النَّهْيُ يَقْتَضِي التَّحْرِيم

Maksudnya: Larangan itu membawa hukum haram.

Imam Ibn Daqiq Al-Eid Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis ini beliau berkata: Hadis ini jelas berkenaan larangan ke atas nikah syighar. Dan para ulama sepakat akan halangan dan larangan ke atas perbuatan ini. Namun para fuqaha berbeza pendapat sekiranya ia telah berlaku adakah akad tersebut fasid (rosak) ataupun tidak. Sebahagian mereka berpendapat bahawa akad tersebut adalah sahih, dan yang wajib adalah memberikan mahar misil. Manakala Imam Al-Syafie berpendapat bahawa akad tersebut adalah batil. Lihat Ihkam Al-Ahkam, Ibn Daqiq Al-Eid (2/559).

Imam Al-Nawawi Rahimahullah sendiri cenderung kepada pendapat Imam Al-Syafie di dalam isu ini. Kerana itu beliau meletakkan hadis di atas ini di dalam bab pengharaman nikah syighar dan batalnya ia di dalam kitab beliau Syarah Sahih Muslim. Kata beliau: Nikah Syighar adalah bentuk pernikahan jahiliah. Para ulama telah berijma’ bahawa ia suatu perbuatan yang dilarang. Lihat Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi (9/544).

Begitu juga terdapat sebuah riwayat yang turut datang daripada Ibn Umar R.anhuma bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

لاَ شِغَارَ فِي الإِسْلاَمِ

Maksudnya: Tidak ada syighar di dalam Islam.
Riwayat Muslim (1415)

Daripada hadis di atas, jelaslah kepada kita bahawa tidak ada sebarang bentuk syighar pun di dalam syariat Islam. Ini kerana, penafian syighar di dalam hadis di atas datang dalam bentuk al-Nakirah fi siyaq al-Nafy yang membawa erti keumuman. Demikian juga kalimah La Al-Naafiyah di dalam hadis di atas membawa erti nafyu al-sihhah iaitu menafikan kesahihan amalan nikah syighar tersebut. Ini bermaksud bahawa nikah al-syighar adalah pernikahan yang batil.

Bentuk pernikahan seperti ini pada asalnya pernah dilakukan oleh segelintir para salaf terdahulu. Ini dinyatakan di dalam sebuah riwayat daripada Abd Al-Rahman bin Hurmuz Al-A’raj beliau berkata:

 أَنَّ الْعَبَّاسَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ الْعَبَّاسِ، أَنْكَحَ عَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ الْحَكَمِ ابْنَتَهُ وَأَنْكَحَهُ عَبْدُ الرَّحْمَنِ ابْنَتَهُ وَكَانَا جَعَلاَ صَدَاقًا فَكَتَبَ مُعَاوِيَةُ إِلَى مَرْوَانَ يَأْمُرُهُ بِالتَّفْرِيقِ بَيْنَهُمَا وَقَالَ فِي كِتَابِهِ هَذَا الشِّغَارُ الَّذِي نَهَى عَنْهُ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم

Maksudnya: Sesungguhnya Al-Abbas bin Abdullah Ibn Abbas telah mengahwinkan anak perempuannya kepada Abdul Rahman bin Al-Hakam. Manakala Abdul Rahman mengahwinkan anak perempuannya kepada Al-Abbas dan mereka berdua menyediakan mahar. Maka Mu’awiyah menulis surat kepada Marwan mengarahkannya supaya memisahkan di antara keduanya. Kata Mu’awiyah di dalam suratnya: Ini adalah Al-Syighar yang dilarang oleh Nabi S.A.W.
Riwayat Abu Daud (2075)

Nas di atas jelas menunjukkan bahawa nikah syighar itu tetap berlaku dan dilarang sama ada dinyatakan bersamanya mahar ataupun tidak. Kerana itulah fekah Saidina Mu’awiyah pada ketika itu mengarahkan supaya dipisahkan di antara kedua pasangan yang melakukan perbuatan ini.

Hikmah Larangan

Berikut merupakan beberapa sebab dan faktor mengapa nikah syighar ini dilarang di sisi syarak. Di antaranya adalah:

Kerana perkahwinan tersebut membawa kepada paksaan ke atas wanita untuk bernikah dengan seseorang yang dia tidak sukai.
Ia juga memberikan kelebihan dan memberatkan maslahah wali ke atas maslahah orang perempuan. Yang demikian ini merupakan suatu yang mungkar dan menzalimi kaum wanita.
Perbuatan ini juga menghalang orang perempuan mendapatkan mahar misil yang berhak ke atas mereka.

Kesimpulan

Setelah kami meneliti isu ini dengan sebaiknya, kami cenderung kepada pandangan yang menyatakan bahawa nikah sebegini adalah suatu perbuatan yang batil. Ini dengan mengambil kira terdapat unsur paksaan dan kezaliman kepada seorang wanita, di samping mengenepikan haknya untuk mendapatkan mahar yang selayaknya. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

- Advertisement -