150 harungi cabaran Kolaborasi Cengal Besar 2017

cengal2
- Advertisement -

BERMULA dengan pengisian majlis ilmu, kuliah maghrib sejarah Islam yang berlaku di bulan Rejab, peserta Rainforest Challenge Kolaborasi Cengal Besar anak-anak peneroka Felda Terengganu 2017 menyahut cabaran ini dengan semangat dan amalan disiplin sepanjang program selama 2 hari 1 malam.

- Advertisement -

Perkemahan peserta bersama keluarga mereka di tapak perkhemahan bermula petang jumaat di Lubuk Merang, Sungai Loh Hulu Dungun bagaikan pesta keluarga dan jaringan suai kenal antara peserta dan petugas. Program yang dijayakan bersama Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (GENERASI) menggabungkan beberapa kelab motorsikal dari Felda-Felda dan kelab sekitarnya.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Paka, Ustaz Saiful Bahri Mamat pada sebelah malam dengan ucapan ringkas sebelum menyertai BBQ bersama peserta.

Beliau yang memberi nasihat agar peserta terutama belia Felda jangan leka dengan situasi hiburan yang melalaikan sekarang. Riadah sebegini mampu memberi kekuatan mental dan fizikal sejajar dengan sejarah kebangkitan Islam zaman awal Islam dengan kepayahan yang mereka terdahulu perlu lalui.

Cabaran utama bermula jam 8:30 pagi 1 April apabila 10 perserta kumpulan pertama yang dipilih khas dilepaskan untuk mengetuai cabaran ini. Kumpulan ini terpilih dari kalangan peserta yang berpegalaman, dan dikuti peserta lain yang dibahagikan kepada 12 kumpulan.

Antara peserta teramai ialah dari Felda Jerangau seramai 40 peserta bersama kelab Tayar Buter (KTB), Jerangau Motocross Team (JMT) 40 peserta. Peserta Felda Kertih 5, 6 seramai 25 orang. Felda Kertih 3 dan 1 pula seramai 10 orang. Manakala beberapa peserta dari Felda Jerangau Barat dan Felda Mengkawang.

Sepanjang perjalanan menuju ke Pokok Cengal Besar, peserta dikawal selia dari pusat kawalan urusetia di base camp Lubuk Merang melalui perhubungan radio amatur. Satu set pemancar mudah alih dipasang agar liputan perhubungan dari pusat kawalan dengan peserta senantiasa dapat berhubung. Walau bagaimanapun hanya jarak tertentu sahaja radio berfungsi kerana faktor muka bumi. Pihak penganjur juga menyedia satu kumpulan pegawai perubatan dan sebuah ambulans sebagai persedian menghadapi sebarang kemungkinan.

Peserta terpaksa melalui jalan tanah merah yang berlurah dan berbatu kesan daripada aliran air. Jalan antara cabaran utama kerana kawasan ini sudah tidak ada aktiviti pembalakan dan tiada penyelengaraan jalan oleh mana-mana pihak. Mungkin ini satu tarikan dan cabaran.

Mereka perlu sampai di jambatan gantung Ulu Sungai Loh dengan jarak masa perjalanan selama 2 hingga 3 jam dengan motocross. Setelah berehat seketika, peserta terpaksa berjalan kaki selama 2 jam lagi untuk sampai ke lokasi pokok cengal ini berada. Ini semua bergantung juga kepada faktor cuaca, keadaan jentera dan ketahanan fizikal peserta.

Cuaca sebelah pagi agak baik dan memudahkan perjalanan peserta. Sekitar jam 12 tengah hari, kumpulan pertama telah berjaya sampai di pokok cengal besar setelah mereka meneruskan perjalanan tanpa henti 2 jam menaiki motor dan 1 jam berjalan kaki. Waktu yang diambil agak pantas berbanding sebelum ini.

Daripada 150 peserta, hanya 20 peserta yang berjaya meraikan kejayaan sampai ke destinasi yang ditetapkan. Selebihnya pihak pengawasan program tidak menggalakan mereka meneruskan perjalanan ke pokok cengal kerana masa dan keadaan cuaca sebelah petang hujan.

Kesemua peserta selamat kembali ke tempat perkhemahan pada masa yang ditetapkan kecuali 11 peserta yang terkandas kerana sebahagian besar jentera kumpulan mereka mengalami kerosakan. Mereka terpaksa bergerak dalam kesulitan untuk keluar kerana jalan licin dan keadaan gelap ditambah pula kehabisan bekalan makanan.

Sejurus mendapat matlumat, pihak penganjur telah membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Jengai dan usaha membawa peserta ini keluar berjaya dilakukan pada jam 10 malam dengan bantuan dari pihak penganjur dan Pasukan Navy (Simpanan) yang kebetulan berada di kawasan tersebut untuk sesi latihan.

- Advertisement -