Tangki simpanan air tanggungjawab pemaju

- Advertisement -

PENGERUSI Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani Negeri Selangor, Zaidy Abdul Talib berkata, tanggungjawab menyelenggara, menjaga keselamatan dan kebersihan tapak tangki air adalah di bawah pemaju sehingga diserahkan kepada pemegang lesen bekalan air.

- Advertisement -

Katanya, ia adalah selaras peruntukan dalam Kaedah-kaedah Industri Perkhidmatan Air (Retikulasi Air dan Pemasangan Paip) 2014, lapor SelangorKini.

Tambahnya lagi, peruntukan itu merangkumi Bahagian III (Bab 1: Pelaksanaan Tanggungjawab) dan Bahagian III (Bab 4: Penyerahan Sistem Bekalan Air).

“Pemaju dikehendaki mematuhi kesemua keperluan teknikal sebelum menyerahkan sistem bekalan air kekal kepada pemegang lesen.

“Hal ini termasuk pematuhan terhadap penyerahan tangki air untuk tujuan pewartaan sebagai Rizab Bekalan Air sebelum diambil alih dan dioperasi pemegang lesen,” katanya di Dewan Negeri Selangor (DNS), di Shah Alam, hari ini.

Beliau merujuk soalan lisan dikemukakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara, Ng Sze Han berhubung menara tangki simpanan air.

Menurutnya lagi, terdapat 14 sistem simpanan air gagal diserahkan kepada Air Selangor disebabkan kegagalan pemaju menyiapkannya mengikut pelan dan mengemukakan Borang 12B tapak tangki air untuk pewartaan Rizab Bekalan Air.

“Untuk kes khusus seperti pemaju bankrap, ia bergantung kepada proses pemulihan sesuatu projek, sama ada diambil alih kerajaan negeri atau pihak lain.

“Selepas diambil alih, tanggungjawab berkenaan akan diambil alih pemaju baru,” katanya menjawab soalan tambahan Sze Han.

- Advertisement -