RUU 355: PAS tidak rugi

- Advertisement -

SORAK dan gembira mereka yang benci kepada PAS kerana Mesyuarat Majlis Tertinggi BN menolak cadangan kerajaan membawa RUU 355. Ertinya ia kembali kepada Undang-Undang Persendirian yang akan dibawa oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi  Awang sebagai Ahli Parlimen Marang. Mereka tuduh PAS kena permain dengan Umno dan Datuk Seri Najib. Kepada PAS tidak ada perkara yang rugi. Siapa bawa pun tidak mengapa, asalkan agenda Islam dapat dilaksanakan. Hatta jika DAP hendak bawa pun PAS akan sokong.

- Advertisement -

Ini bukan isu yang hendak dipolitikkan. Kalau fikir keuntungan politik daripada awal, PAS tidak akan memperjuangkan perkara ini. Ahli PAS diajar berpolitik untuk bekalan akhirat, bukan sahaja di dunia. Inilah motivasi ahli PAS.

 Rakyat boleh menilai itulah kualiti pemimpin Umno mengenai perjuangan mereka untuk memartabatkan Islam di negara ini. Hampir 60 tahun merdeka mereka gagal mendidik rakan-rakan mereka untuk memahami Islam dan menghormati hak orang Islam. Rakyat juga boleh menilai inilah PAS, bukan ia hirau apa yang manusia hendak kata.

Apabila wartawan tanya saya di luar Parlimen pagi tadi, sampai bila PAS hendak memperjuangkan RUU 355  dan syariat Islam. Saya jawab hingga kiamat. Jangan haraplah PAS hendak berundur daripada memperkatakan mengenai Islam.

PAS sudah berjaya memberi kesedaran mengenai kepentingan syariat Islam kepada masyarakat awam termasuk kepada ahli tegar Umno. Semasa perjalanan ke Parlimen tadi saya dipanggil oleh seorang cikgu pencen yang kuat Umno. Dia menunjukkan kepada saya berita mengenai DS Najib yang tidak mahu membawa RUU 355. Beliau dengan nada kesal terhadap berita ini.

Rakyat boleh menilai sikap PAS tidak pernah berubah sejak daripada dulu. Bukan perkara baru berbagai pihak meminta PAS buang sahaja agenda Islam jika mahu maju dalam politik.  Perjuangan PAS tidak relevan di dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia. PAS menjawab dengan amalan dan terus istiqamah dengan agenda Islam.

Parti pembangkang mengatakan kerana RUU 355, pembangkang berpecah. Inilah jawapan yang  pemimpin Umno bawa ke hulu dan ke hilir sejak dahulu, kerana PAS menyebabkan Melayu berpecah. Sekarang ini dikitar semula oleh parti pembangkang untuk memburukkan PAS, kerana  RUU 355 pembangkang berpecah. Malahan berbagai tuduhan yang dilemparkan untuk rosak imej PAS.

Rakyat boleh menilai inilah PAS yang tegas dengan prinsip, lunak dengan pendekatan. Tidak hirau dengan kejian. Biarlah manusia lain tidak suka. Jika RUU 355 pun sudah alergik, yang memang sudah termaktub di dalam undang-undang. Apakah yang hendak diharapkan dalam agenda Islam yang lain?

Ustaz Idris Ahmad
Naib Presiden PAS / Ahli Parlimen Bukit Gantang
2 Rejab 1438 / 30 Mac 2017 – HARAKAHDAILY 30/3/2017

- Advertisement -