RUU 355: PAS tetap istiqamah perjuangkan Islam

- Advertisement -

SEMALAM negara dikejutkan dengan berita berkaitan cadangan pindaan RUU355 yang telah dibawakan oleh Presiden PAS ke Parlimen, telah diputuskan oleh Umno BN untuk tidak akan membantu PAS membawanya. Sudah ribut di seluruh negara dengan kejian, makian dan sindiran golongan-golongan yang sememangnya membenci PAS di atas berita ini, walaupun tersangat jelas apa yang cuba PAS bawakan ini adalah demi kebaikan Islam.

- Advertisement -

Sebagai seorang muslim yang dibesarkan dalam persekitaran Islam yang sering dicabar dan dikaderkan bagi menghadapinya, kami sangat suka melihat hal ini dari sudut pandangan positif. Keadaan ini sebenarnya telah dijangka oleh PAS dan insya Allah Islam tetap menang. Kami kongsikan pandangan kami dalam isu ini.

1. Dengan penolakan Umno BN dalam membantu PAS membawa isu pindaan RUU355 ini, jelas kepada semua manusia yang waras bahawa tiada hubungan antara PAS dan Umno BN sebagaimana UG yang diratib saban waktu oleh pembenci-pembenci PAS.

2. PAS masih mempunyai peluang dengan kebenaran Speaker untuk membawa cadangan pindaan ini kerana bukannya usul ini ditolak, tetapi tidak dibantu oleh pihak lain. Jika dengan izin Allah ianya diluluskan, kejayaan ini akan lebih manis dan bermakna kerana PAS sendiri yang memajukannya tanpa bantuan besar pihak lain.

3. PAS kini tidak perlu mengharapkan orang lain kecuali berharap sepenuhnya kepada Allah bagi membantu agama-Nya. Ini menguatkan lagi kebergantungan kita kepada Allah kerana kejayaan Islam bukan kerana jumlah yang ramai tetapi kerana ketaqwaan kita. Sebagaimana bencinya Rasulullah SAW kepada golongan yang berbangga dengan jumlah yang ramai dalam Perang Hunain, sedangkan kemenangan itu datangnya dari Allah.

4. Tipu daya didalam politik ini akan terkena kepada sesiapa juga walaupun kepada pejuang-pejuang Islam. Ujian ini akan mematangkan kita dan menjadi tapisan kepada jemaah.

5. Ahli Umno dan pencinta Islam boleh melihat dengan jelas betapa dhaifnya Umno sehingga tidak mampu menguasai rakan mereka dalam BN dalam hal agama Islam sendiri. Rakyat Islam kini melihat hanya PAS sahaja yang komitmennya sangat tinggi dan boleh diharap dalam perjuangan memartabatkan Islam di Malaysia.

6. PAS menerima pelawaan Umno BN dalam isu pindaan RUU355 ini bukan kerana mereka dikenali sebagai kumpulan yang boleh dipercayai, tetapi PAS menerimanya diatas sebab DAP dan sekutunya telah jelas menolak, manakala Umno BN belum menolaknya walaupun diragui akan menolak. Oleh itu langkah PAS adalah tepat kerana Umno BN ketika itu adalah sedikit lebih baik daripada DAP.

Saya menyeru agar kita semua tetap istiqamah di jalan Islam ini. Biarpun kita bukan sebagai watak utama penjulang syariat Allah tetapi sekurang-kurangnya tidak menjadi watak utama penentang syariat Allah.

Kita sedang bergerak ke akhirat. Julanglah Islam walau di mana kita berada. PAS tetap istiqamah dalam jatuh bangun PAS untuk menegakkan syariat Allah. Kita akan menuai hasil usaha kita bagi membantu agama Allah tanpa ditanya adakah kita menang atau kalah.

Jika benar pindaan RUU355 ini ditolak suatu hari nanti, maka pastikan mereka yang menolaknya tidak akan mendapat sehelaipun undi kita.

Ayuh kita teruskan perjalanan demi kerana Allah, kesampingkan kekecewaan, berusaha, berdoa dan bertawakkal, insya Allah diberikan kejayaan oleh Allah.

Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
2 Rejab 1438 / 30 Mac 2017 – HARAKAHDAILY 30/3/2017

- Advertisement -