RUU 355: Isyarat BN tumbang PRU14

hanafi
- Advertisement -

KEPUTUSAN Kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk tidak membentang Rang Undang-undang 355 (RUU355) di Parlimen bukanlah suatu keputusan yang memeranjatkan buat para pendukung PAS. Di peringkat akar umbi PAS jelas keputusan ini merupakan suatu jangkaan sedari awal pihak kerajaan bercadang untuk membentangkan RUU355 ini.

- Advertisement -

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dia lah yang menguatkanmu dengan pertolonganNya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman. (Surah Al-Anfal: ayat 63)

Hakikat yang kita perlu sedari bahawa keputusan ini merupakan suatu rahmat buat rakyat Malaysia yang sekian lama menolak Kerajaan BN kerana hari ini mereka telah memaparkan wajah sebenar setelah berhempas pulas menekapkan topeng sandiwara politik untuk memperbodohkan rakyat demi meraih sokongan yang semakin luntur.  

Sikap Kerajaan BN terhadap keputusan ini memperjelaskan lagi sikap sebenar dalam memperjuangkan hak-hak umat Islam di Malaysia. Lebih parah lagi Akta 164 yang bercanggah dengan syariat Islam serta Perlembagaan Persekutuan itu sendiri menjadi pilihan Kerajaan BN untuk dibentangkan.
 
Maka siapakah yang kita boleh harapkan? Rakyat hari ini dapat melihat PAS merupakan satu-satunya parti yang konsisten memperjuangkan dasar yang telah ditetapkan sejak penubuhannya lagi. Dengan segenap ruang yang ada PAS terus-menerus membawa citra rakyat tanpa melihat tentangan yang ada.

Kerajaan BN pula jelas dilihat sebagai kelompok parti yang tuli dan apa pula yang kita boleh harapkan pada Pakatan Harapan? Hanya menjadi pasukan sorak yang penuh dengan kelicikan omongan kosong sahaja.

Hari ini kita semakin jelas bahawa Kerajaan BN bukanlah sebuah kerajaan yang mendengar suara serta aspirasi rakyat akan tetapi sekadar sebuah kerajaan yang hanya mampu mendengar keroncong perut kroni-kroni mereka sahaja.

Pendirian PAS tidak berubah. Maka PAS sekali lagi akan menjadi watak utama dalam perjuangan membentang RUU355 bilamana kerajaan mengisytiharkan tidak akan melakukan pembentangan di Parlimen. Bukan sahaja RUU355 akan kita bentang, bahkan kita juga akan membentangkan kain kapan buat Kerajaan BN sebagai tanda semakin hampirnya hayat Kerajaan BN memerintah.

Di peringkat Dewan Pemuda PAS Subang berikrar jika tempoh hari Azmin Ali terasa bahang di kerusi Menteri Besar, hari ini kita juga akan mempersiapkan seluruh tenaga jentera yang ada untuk membuka pintu keluar buat rejim Umno dan Barisan Nasional setelah sekian lama terperuk dikunci dengan projek pembodohan rakyat.

Ustaz Hanafi Zulkapli
Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Subang
30 Mac 2017 | 2Rejab 1438 – HARAKAHDAILY 30/3/2017

- Advertisement -