Dua LRA dijangka siap ikut jadual

- Advertisement -

KERJA pembinaan dua Loji Rawatan Air Semenyih 2 dan Labohan Dagang masih berjalan mengikut jadual serta dijangka siap mengikut tempoh ditetapkan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani negeri, Zaidy Abdul Talib berkata, setakat 25 Mac lalu kerja di LRA Semenyih 2 sudah mencapai 24.14 peratus berbanding jadual 55.5 peratus sejak dimulakan, pada 20 Mei 2016.

Bagi LRA Labohan Dagang, masih terdapat beberapa kerja dalam perbincangan dan status kerja dipantau dari semasa ke semasa, lapor SelangorKini.

“Pemantauan tapak yang dibuat Unit Perancang Ekonomi Negeri secara berkala dan mesyuarat jawatankuasa diadakan setiap bulan bagi membincangkan jadual projek dan mencari penyelesaian masalah yang timbul supaya tidak menjejaskan jadual projek,” katanya ketika menjawab soalan lisan ADN Sekinchan, Ng Suee Lim pada persidangan Dewan Negeri Selangor.

Zaidy berkata, masalah utama yang dihadapi dalam melaksanakan projek itu adalah pengambilan tanah, namun semuanya sudah berjaya diselesaikan.

Katanya, kerajaan negeri sudah meneliti unjuran permintaan dan pembekalan air sehingga 2027 serta berusaha mencapai sasaran meningkatkan rizab simpanan air mencapai 15 peratus sebagai satu inisaitif Pelan Permintaan Air jangka panjang.

“Setakat ini, kadar simpanan air tipis yang dianggarkan sekadar 3.4 peratus dan rizab air mentah semakin terhad dengan permintaan penggunaan disasarkan pada kadar 3.5 peratus, setiap tahun.

“Keadaan ini akan mengehadkan kerajaan negeri memberikan bantuan jika berlaku kejadian luar jangka seperti musim kering berpanjangan atau kerosakan peralatan di loji bekalan air,” katanya yang juga ADN Taman Templer.

LRA Semenyih 2 dijangka siap Disember ini sementara LRA Labohan Dagang pula dijangka siap pada Disember 2018 dengan jumlah keupayaan penghasilan 300 juta liter air sehari yang mampu membekalkan air khusus kepada penduduk Klang dan Kuala Langat.

- Advertisement -