Hati yang tenang

- Advertisement -

MASUK syurga di akhirat nanti adalah cita-cita tertinggi orang yang beriman kepada Allah. Tiada nikmat tertinggi kurniaan Allah selain syurga-Nya yang dipenuhi nikmat yang tak terjangkau dek khayalan manusia.

- Advertisement -

Membaca dan memahami ayat-ayat al Quran dan hadis-hadis nabi berkaitan syurga, isi dan kehidupan penghuninya nanti menjadikan hati orang beriman meronta-ronta untuk segera memperolehinya. Tapi manalah daya kita. Syurga itu letaknya di akhirat dan kita dipisahkan daripadanya oleh kematian diri yang entah bila kunjungnya. Entah bila tiba ajal kita itulah yang cukup membebankan jiwa kita dan seluruh orang mukmin.

Syurga bukan senang untuk diperolehi. Hidup ini perlu lurus. Membina laluan salah dan bengkok di dunia boleh saja mencampakkan manusia ke neraka Allah yang dipenuhi pula dengan azab yang tak terperi. Justeru dengan syarat yang ketat itu, bergetar ketakutanlah jiwa orang mukmin mengharungi kehidupan sebelum mati yang penuh onak dan duri itu untuk kekal lurus dan istiqamah di jalan menuju syurga.

Tetapi kegerunan di hati orang mukmin dan rasa gementar itu sebenarnya adalah lahir daripada harapan yang tinggi kepada Allah agar dia dikurniakan syurga firdausi. Terus mengharap dan tidak berputus asa itulah yang menghidupkan hatinya memburu syurga. Ya, berapa ramai yang jemu dan malas menunggu di dalam urusan dan hal duniawi ini lagi. Menunggu itu adalah satu penyeksaan yang amat dibenci. Itu hal dan urusan dunia. Inikan pula menunggu syurga yang entah bila datang ajalnya. Lagi pula, jauhnya syurga di mata manusia menambahkan lagi putus asa manusia untuk berfikir serius dan mengimpikan syurga.

Maka manusia lebih suka memilih keseronokan duniawi yang segera dan mudah diperolehi. Manusia yang sememangnya berjiwa keluh kesah dan tidak sabar akan berusaha menggambarkan dunia sementara ini sebagai syurga yang hebat. Mereka dengan sengaja memejamkan mata daripada berfikir mengenai mati dan kehidupan selepasnya. Kata mereka, buat apa mengazab diri dengan menunggu-nunggu suatu yang jauh entah bila? Syurga (dunia) sudah ada di depan mata dengan segala nikmat dan keseronokan. Begitulah kedudukan syurga di mata manusia yang lalai.

Tetapi orang mukmin adalah sebaliknya. Dia sudah mengenal hakikat kehidupan. Dunia ini sementara sifatnya. Ajalnya sendiri adalah lebih pendek. Boleh dibilang panjang pendek umur semua manusia. Tiada manusia yang dilupai umurnya dek kerana terlalu panjang dan lama hidupnya. Hari-hari yang berlalu adalah cerita musibah, kecelakaan, kematian dan kubur. Bagaimana boleh begitu mudah melupai kematian, akhirat dan syurga?

Justeru impian menggunung untuk memiliki syurga di akhirat terus teguh di jiwa orang yang beriman. Dengan keyakinan yang tinggi itu, kesabaran menanti menjadi mudah dan biasa. Malah ia bertukar menjadi hamparan kepada binaan sebuah hati yang tenang.

Hati yang tenang adalah hati pemilik syurga di dunia dan akhirat. Syurga di dunia bukanlah segala nikmat dan kemewahan kebendaan duniawi ini. Itu sementara, hancur dan hilang sifatnya. Apa yang hancur dan hilang bukanlah syurga. Syurga nikmatnya kekal abadi. Tiada ketakutan dan tiada kesedihan menanti esok hari yang tiada padanya kematian dan kehilangan.

Syurga dunia hakikatnya adalah pemilik hati yang tenang menanti hari akhirat. Hati yang tenang itu pula adalah terhasil daripada ketakutan dan kegerunan menghadapi kehidupan dunia dan hari kematian tetapi telah diisi dengan keazaman dan kesungguhan memperolehi janji syurga di akhirat nanti.

Ia seperti seorang penuntut yang gigih belajar untuk menghadapi hari peperiksaan demi kejayaan yang diimpikannya. Pada hari peperiksaan, dia gementar dan sedikit gugup tetapi jiwanya tetap tenang dengan segala persediaan yang telah dilakukannya sejak awal. Bagaimana pula dengan penuntut yang tidak bersedia menghadapi hari peperiksaan, malah bersuka ria dan leka sepanjang masa? Ya, dia akan ketakutan sekali dan tiada apa lagi yang boleh menenangkan jiwanya yang kosong dan tanpa jawaban apabila memasuki dewan peperiksaan.

Jiwa yang tenang terhasil daripada mengingati Allah. Mengingati akhirat, syurga, neraka dan kehidupan di sana semuanya adalah terhasil daripada mengingati Allah. Akhirat dan syurga adalah milik Allah. Bagaimana dibayangkan dan diimpikan syurga tanpa mengingati penciptanya?

Mengingati Allah adalah kemuncak tertinggi nikmat kehidupan di dunia. Ia adalah matlamat ibadah sebagaimana ibadah adalah matlamat kehidupan. Mengapa hidup? Untuk beribadah. Mengapa beribadah? Untuk mengingati Allah. Mengapa mengingati Allah? Untuk sebuah jiwa sang hamba yang tenang dan syurgawi nilainya. Begitulah kedudukan zikrullah.

Apa erti solat yang lalai dan lagha tanpa mampu mengingati Allah? Siapa kata tanpa solat pun boleh memgingati Allah? Sesungguhnya orang yang meninggalkan ibadah sudah pasti lalai daripada mengingati Allah dan orang yang solatnya lalai akan terkandas juga daripada mengingati Allah.

Justeru pemilik jiwa yang tenang sebenarnya sudah pun memperolehi syurga. Mengapa? Kerana dia telah mencapai tingkatan zikrullah. Bukankah jiwa yang tenang hanya wujud dengan zikrullah? Hayatilah firman-Nya, “Ketahuilah bahawa hanya dengan mengingati Allah jiwa akan menjadi tenang.”

Hanya ajal yang memisahkan pemilik hati syurga ini (mukmin yang tenang jiwanya) daripada syurga sebenar di akhirat nanti. Dia hakikatnya adalah ahli syurga yang sedang dagang di dunia ini. Dunia ini adalah persinggahannya yang sementara. Hatinya meronta-ronta untuk kembali ke tempat asalnya.

Lihatlah bagaimana lembutnya Allah menjemput pemilik hati yang tenang nanti menuju ke tempat asalnya itu, “Aduhai jiwa yang tenang. KEMBALIlah kepada tuhanmu dalam ridhamu (pada-Ku) dan ridha-Ku (padamu). MASUKlah dikau di kalangan hamba-hamba-Ku (yang telah mendahului dan sedia menantimu dengan gembira) dan MASUKlah dikau ke dalam syurga-Ku.” (al Fajr: 30)

Bagaimana memperolehi jiwa yang tenang? Ya, dengan mengingati Allah. Bagaimana untuk mengingati Allah? Ya, dengan memperelokkan persembahan ibadah kita kepada-Nya. Bagaimana memperelokkan ibadah? Ya, dengan menambahkan pengenalan diri terhadap Allah. Semuanya bermula daripada keupayaan dan kejayaan kita mengenali Allah yang maha agung.

Untuk mengenali Allah, cara terbaik adalah mendalami al Quran. Al Quran adalah ilmu paling dekat untuk mengenali Allah. Ia juga adalah hidayat paling dekat untuk diperolehi. Al Quran jalannya nyata, mudah dan dekat di hati. Apa yang perlu adalah kita memperolehi guru yang terbaik untuk mengajarkan kita tentang al Quran.

Jiwa yang tenang dengan zikrullah akan hidup di dunia dengan penuh ketenangan.

Dia tidak dibebankan dengan keluh kesah hidup dunia. Dia sudah mendakap impiannya menuju redha dan syurga tuhannya. Susah senang hidup di dunia adalah sama baginya. Jika senang, hati dan lidahnya akan memuji dan mensyukuri tuhannya. Jika susah, dia bersabar dan pasrah kepada tuhannya.

Baginya, apa yang berlaku pada dirinya adalah ketentuan Allah ke atas dirinya. Dia beriman bahawa tuhannya mahukan sebuah kesyukuran tertinggi daripada hamba-Nya yang diciptakan-Nya sebagai sebaik-baik makhluk di alam maya ini. Jom mari membina hati yang tenang dengan mengingati Allah.

- Advertisement -