30 tahun Harakah diraikan bersama KAMI

MEDIA1
- Advertisement -

SAMBUTAN 30 tahun Harakah diraikan bersama Kumpulan Aktivis Media Independent (KAMI) dengan warga Kampung Bukit Tanah, Jabi, Setiu dalam satu program Kampung Media.

- Advertisement -

Program dua hari satu malam itu bermula 24 dan 25 Mac diisi dengan aktiviti ziarah, BBQ, wayang pacak, sukaneka, jamuan rakyat serta ceramah umum.

Beberapa orang penduduk tempatan yang yang ditemui berpendapat program Kampung Media itu amat bermanfaat dan wajar diteruskan.

Mustafa Kasim, 59, dari Kampung Bukit Tanah berkata melalui program Kampung Media boleh membuka minda penduduk dengan isu-isu semasa.

Malah, kata beliau boleh merapatkan lagi hubungan silaturrahim di kalangan penduduk setempat melalui pelbagai pengisiannya.

“Pada Abang Pa, ini satu program yang baik untuk membuka minda rakyat dengan isu-isu semasa yang berlaku dalam negeri kita.

“Kami orang kampung ini kurang sikit dapat maklumat kerana kurang ambil hal (tahu) mengenai isu-isu semasa.

“Dan, program macam ini juga merapatkan hubungan silaturrahim antara penduduk dengan warga media,” ujarnya.

Seorang petani, Salleh Che Kar, 60, menyambut baik usaha pihak media KAMI yang sudi bertandang di Kampung Bukit Tanah, Jabi.

“Saya ucap terima kasihlah kepada pihak media KAMI yang sudi datang ke kampung kami ini, yang serba kekurangan.

“Selama ini, orang kampung tak ambil hal sangat tentang isu-isu negara dan serah kepada orang politik yang uruskan.

“Apabila didedahkan oleh pihak media tentang isu penyelewengan, rasuah dan pembaziran. Maka, kami (penduduk) terkejut apa yang dilakukan oleh pihak pemerintah (Barisan Nasional),” jelasnya.

Manakala, Zakaria Mahmud atau lebih dikenali Abang Lias, 51, menyokong usaha murni pihak media KAMI dan Harakah yang meraikan ulang tahun ke-30 di Kampung Bukit Tanah, Jabi.

Beliau tidak menyangka pihak KAMI dan Harakah memilih perkampungan ini untuk merayakan sambutan tersebut.

“Saya tak sangka pihak media KAMI dan Harakah pilih untuk datang ‘berkampung’ di Kampung Bukit Tanah ini dan bersama warga kampung selama dua hari satu malam.

“Kami rasa bertuah kerana memilih kampung ini untuk merayakan ulang tahun ke-30, akhbar Harakah,” ujarnya.

Menurutnya, dengan pelbagai acara seperti sukaneka rakyat, BBQ, jamuan dan ceramah umum telah memeriahkan suasana Kampung Media.

Kemuncak program tersebut Ceramah Umum sempena Sambutan 30 Tahun Harakah oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi, Ketua Pengarang Harakah, Wan Nordin Wan Yaacob, Ketua Generasi Felda Terengganu, Naraza Muda dan Pengerusi KAMI, Dr Azman Ibrahim.

- Advertisement -