FIRMAN Allah SWT maksudnya: “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang mencereboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahui. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.” (Surah Al-Anfaal, 60)
Tahun ini, Hari Polis Malaysia bakal disambut buat kali ke-210. Angka ini menggambarkan komitmen dan kesungguhan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) berkhidmat sejak sebelum tanah air merdeka lagi. PDRM yang dianggotai seramai 113,336 orang pegawai dan anggota. Jumlah keanggotaan ini pula terdiri daripada pelbagai aspek penugasan seperti Tugas Am dan Pasukan Gerakan Am merangkumi tugas ‘tradisional’ mereka serta tugas-tugas ‘non-regulatory’ seperti peperangan menentang kebangkitan pengganas komunis suatu masa dahulu.
Seiring peredaran masa, bahaya dan cabaran yang mampu menggugat keamanan serta kestabilan Malaysia jauh berbeza berbanding dahulu. Sifat amanah, pengorbanan, strategis serta komitmen lebih tinggi diperlukan bagi menghadapi realiti ini. Justeru, Dewan Muslimat PAS Malaysia menyeru rakyat Malaysia agar menghargai pengorbanan anggota PDRM serta memberi kerjasama sewajarnya dan sokongan yang tinggi kepada mereka.
Dewan Muslimat PAS Malaysia mengucapkan selamat menyambut Hari Polis Malaysia kali ke-210. Semoga Allah SWT meneguhkan iltizam dan memasakkan keimanan dalam diri para anggota PDRM untuk terus menjalankan tugas dengan ‘telus, cepat dan pantas’.
Selamat menyambut Hari Polis kali ke-210. “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada”
USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
26 Jamadil Akhir 1438 / 25 Mac 2017 – HARAKAHDAILY 25/3/2017