Inflasi naik, kadar GST wajar turun

- Advertisement -

INFLASI negara pada Februari telah mencecah 4.5%, jauh lebih tinggi daripada apa yang dijangka para penganalisis ekonomi. Perkara ini tidak mengejutkan ekoran tindakan kerajaan menaikkan harga minyak kepada RM2.30 pada 1 Februari 2017 tanpa mempedulikan kesan terhadap rakyat.

- Advertisement -

Perlu diingat, kadar inflasi sebenar adalah lebih tinggi pada realiti. Ini bermakna harga barangan akan terus meningkat, rakyat yang sudah merana terpaksa lagi membayar lebih pada bulan-bulan akan datang untuk segala jenis barangan konsumer.

Mengumumkan harga minyak baharu secara mingguan bukan cara holistik untuk menyelesaikan masalah kenaikan kos sara hidup rakyat. Apabila kerajaan bereksperimen dengan harga siling minyak nanti, dikhuatiri kerajaan akan menggunakan persaingan harga minyak antara stesen minyak untuk mencuri peluang mengenakan GST pula pada pembelian petrol, kononnya untuk mengelakkan penyelewengan.

PAS mengulangi gesaan agar kadar GST diturunkan sejajar dengan kenaikan kadar inflasi. Memandangkan kadar inflasi telah naik sebanyak 1.3% daripada Januari ke Februari, maka sewajarnya kadar GST diturunkan daripada 6% kepada 4.7%.

Penurunan kadar GST sejajar kenaikan kadar inflasi boleh menstabilkan kuasa membeli rakyat dan seterusnya menurunkan tekanan pada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

PAS mengulangi bahawa menurunkan kadar GST sejajar dengan kenaikan kadar inflasi tidak akan sesekali mengurangkan nilai kutipan GST kepada kerajaan, kerana harga barangan yang lebih mahal akan mengimbangi penurunan kadar GST.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
25 Mac 2017 – HARAKAHDAILY 25/3/2017

- Advertisement -