PAS tetap ‘cool’, yang kurang cerdik percayakan Umno

- Advertisement -

SEMALAM (20 Mac 2017) disiarkan di dalam akhbar bahawa Datuk Seri Ahmad Said, mantan Menteri Besar Terengganu yang telah diturunkan dengan cara yang menimbulkan kemarahan dan kesedihan beliau oleh Perdana Menteri, menyatakan bahawa beliau akan menyerahkan sendiri senarai nama calon dari Kemaman bagi semakan atau kelulusan Umno pusat.

- Advertisement -

Secara mudah kefahaman rakyat ialah, beliau tidak mahu memberikan senarai nama calon dari Kemaman itu kepada Badan Perhubungan Umno Terengganu yang mana ketuanya sekarang ialah Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman. Ketika ini, DS Ahmad Said, masih memegang jawatan Ketua Umno Bahagian Kemaman.

Tidak kisahlah apa yang beliau, DS Razif, DS Najib mahu perbalahkan. Itu hal Umno, tiada kaitan dengan kita kecuali dalam hal menyeleweng wang rakyat. Tetapi apa yang mahu dicoretkan di sini ialah keboleh percayaan kepada Umno.

Saya yakin, tentu rakyat masih ingat bagaimana DS Ahmad Said yang dengan sedihnya, hampir menangis apabila ditemuramah oleh stesen TV sejurus selepas pemecatan beliau ketika sangat hampir dengan majlis pernikahan anak kesayangan beliau. Sebegitu rupa beliau dimalukan. Selang tidak beberapa lama, beliau dengan tegas telah menyatakan beliau telah keluar Umno dengan disertai oleh sekurang-kurangnya dua lagi Adun Umno. Ketika itu, secara teknikalnya, Umno sudah tidak mempunyai majoriti sebagai kerajaan di Dun Terengganu.

PAS dilibatkan oleh sebuah parti lain atau boleh kita gelarkan parti mengada-ngada, dengan mengatakan PAS tidak mengambil peluang untuk menjatuhkan kerajaan Umno di Terengganu. PAS tetap ‘cool’, tidak melayan sebarang provokasi musuh sama ada dari Umno, musuh utama PAS, mahupun juga dari parti yang baru cuba menjadi musuh PAS. Hasilnya, dalam masa dua hari, kedua-dua Adun yang berpaling tadah itu turut kembali ke sarang lama mereka. Mereka menekan brek secara mengejut, kemudian membuat ‘U-turn’.

Kembali semula kerajaan Umno menjadi 16-15-1. PAS tetap ‘cool’ kerana PAS tahu, di Dun Terengganu, Speaker Dun diberikan kuasa mengundi. Jadi kedudukan 17-15-1. Ketika DS Ahmad Said keluar Umno, ada juga maklumat yang dikatakan sebagai tawaran datang dari ‘orang besar’ Umno untuk memujuk PAS bersama. PAS tetap ‘cool’ tidak melayan sebarang tawaran ‘gelap’ yang diberikan. Nyata betul tindakan PAS kerana apabila kembalinya DS Ahmad Said ke pangkuan Umno, beliau tiba-tiba memaklumkan bahawa ada orang PAS yang datang menawarkan dia sesuatu. Cerita lucu yang direka beliau itu, tidak mendapat sambutan gelak tawa orang.

Mengamuk lagi DS Ahmad Said di dalam Sidang Dun, membongkar segala perkara yang dikatakan sebagai penyelewengan Umno di Terengganu. Namun, beliau sejuk beku kemudiannya setelah ‘dipujuk’. Mengamuk juga beliau di perasmian Mesyuarat Agung Umno Bahagian Kemaman, sehinggakan bersumpah. Kemuncak kepada amukan beliau ialah ketika membentangkan usul tidak percaya kepada MB Terengganu tahun lalu yang telah ditolak oleh Speaker Dun.

Ketika inilah PAS bangun mengusik bagi meminta Speaker menimbang kembali penolakan usul itu, atas alasan DS Razif, mungkin tidak mendapat sokongan sepenuhnya. PAS tidak boleh berbuat apa-apa selain itu kerana kuasa mutlak penolakan, terletak kepada Speaker Dun. Paling lucu, Speaker secara tergesa-gesa menangguhkan persidangan dan meninggalkan Dun bagaikan Umno pula yang memboikot Sidang Dun. Namun sebuah parti mengada-ngada mencanangkan bahawa PAS tidak bertindak ketika itu. Naifnya kritikan itu. Usul ditolak speaker, jadi macam mana mahu mengundi?

Sebelum semua peritiwa itu, DS Ahmad Said pernah beriringan dengan Tun Mahathir ke satu program soal jawab dengan DS Najib dan dimaklumkan DS Najib yang berdarah Bugis itu secara tiba-tiba membatalkan majlis itu. DS Ahmad Said juga suatu ketika dilihat agak rapat dengan Perkasa yang dinaungi oleh Ibrahim Ali. Begitulah tegarnya DS Ahmad Said melawan parti asal beliau, Umno. Untuk semua amukan DS Ahmad Said ini, PAS tetap ‘cool’ kecuali mengambil peluang pendedahan yang beliau buat berkenaan penyelewengan Umno.

Kemudian, terbongkarlah sebuah cerita ketika program Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBBM) ataupun yang dikenali sebagai Bersatu, yang dinaungi oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dibantu oleh Datuk Seri Mukhriz Mahathir. Program yang berlangsung di Marang, Terengganu itu telah dilaporkan oleh orang yang dekat dengan Bersatu. Ia berkenaan janji sokongan DS Ahmad Said kepada Tan Sri Muhyiddin. Dikatakan DS Ahmad Said Telah berjanji akan menyertai Bersatu, dan dipastikan oleh Tan Sri akan janji itu benar. Namun janji tinggal janji, sehingga kini, DS Ahmad Said diam membisu kata orang yang mendengar cerita dari mulut Tan Sri sendiri.

Lagikan sesama sendiri dikhianati, berjanji pula dengan orang sendiripun mereka memungkiri, inikan pula berjanji dengan PAS berkaitan dengan kuasa. Bayangkan jika PAS mengambil jalan sebaliknya. PAS bersama bekas Adun Umno menubuhkan kerajaan Terengganu ketika itu, kemudiannya mereka berpaling balik kepada Umno? Kelihatan hodoh dan bodohlah PAS ketika itu. Sebab itulah PAS tidak melayan pelawaan Umno.

PAS telah lama mengenali watak-watak Umno ini. Tidak hairanlah PAS tidak cepat melatah dengan segala tindakan Umno ini. Jadi mungkin parti yang mengada-ngada itu cuba menggali lubang, mengajak PAS menghampiri lubang dan bercadang untuk menolak PAS masuk ke dalamnya. Maaf, mungkin di lain kali mereka boleh mencubanya. Sehingga sekarang, PAS tetap ‘cool’ melayan karenah Umno.

Insya Allah, rakyat Terengganu terutamanya, tetap akan bersama PAS dalam perjuangan menentang penyelewengan Umno. Janganlah dipercayai kepada parti yang kelihatan cara berpolitik mereka, menyamai Umno. Anda lihatlah sendiri bagaimana fitnah, makian, sengaja dicetuskan bagi memberikan gambaran buruk kepada PAS. Insya Allah fitnah akan mati. Mati bersama mereka yang menciptakannya.

Maka tepatlah tindakan PAS dalam hal ini. PAS telah terbukti istiqamah menentang kezaliman Umno dengan mengikut undang-undang negara. Maka sesiapa yang cuba menentang PAS, mereka adalah sebahagian daripada Umno. Cukup mudah sifir ini.

Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
22 Jamadilakhir 1438 / 21 Mac 2017 – HARAKAHDAILY 21/3/2017

- Advertisement -