Definisi FAO mesti iktiraf bahawa ladang bukan hutan

- Advertisement -

PADA Hari Perhutanan Sedunia 21 Mac ini, 200 pertubuhan mengingatkan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Sedunia (Food and Agriculture Organisation – FAO) bahawa definisi hutannya sejak 1948 mengelirukan dan mestilah ditukar. Definisinya membolehkan industri perladangan menyembunyikan kesan buruk ekologi dan sosial daripada perladangan pokok monokultur berskala besar di sebalik imej hutan yang positif.  
 
Definisi hutan FAO membolehkan industri perladangan memanggil ladang monokultur yang menggunakan spesies cepat membesar seperti eucalyptus, pain, getah atau akasia sebagai “hutan” kerana definisi hutannya hanya dengan bilangan, ketinggian dan sudur yang melindungi pokok di sesuatu kawasan. Definisi hutan FAO digunakan sebagai rangka tindakan bagi lebih 200 definisi hutan di peringkat antarabangsa dan kebangsaan sejak 1948.
 
Atas nama definisi hutan FAO ini, pihak industri mampu untuk berkembang dengan pantas terutama sekali di dunia Selatan, di mana ladang pokok monokultur kini meliputi beberapa puluh juta hektar tanah. Pengembangan ini membawa bencana kepada komuniti luar bandar, petani  dan Orang Asal. Mereka kehilangan tanah dan kehidupan di mana ladang pokok monokultur telah mengambil tanah mereka, memusnahkan cara hidup mereka, mengeringkan sungai dan mata air mereka dan meracuni makanan mereka dengan racun pertanian.
 
“Hampir 70 tahun, definisi hutan FAO yang mengelirukan ini memberikan kelebihan kepada industri perladangan. Mereka menyembunyikan kemusnahan yang disebabkan apabila kepelbagaian hutan, padang rumput dan tanah gambut yang kaya dengan kehidupan ditukar menjadi ‘gurun hijau’ yang terdiri daripada pokok monoklonal dalam barisan yang lurus di sebalik imej hutan positif yang disediakan oleh FAO,” kata Winfridus Overbeek, Penyelaras Antarabangsa World Rainforest Movement.
 
Perbahasan pemulihan hutan sebagai perlindungan iklim menambahkan lagi pentingnya definisi hutan diperbetulkan
 
“Dengan menerima pakai Perjanjian Paris PBB mengenai perubahan iklim, menyemak semula definisi hutan FAO semakin penting,” kata Guadalupe Rodriguez dari Salva la Selva/Rettet den Regenwald, “ia merupakan satu tragedi jika definisi FAO yang mengelirukan ini membolehkan pengembangan monokultur pokok yang memusnahkan ini untuk dana iklim yang diperuntukkan bagi “perhutanan semula” dan “pemulihan hutan”.

- Advertisement -

Ini bukan hanya menjejaskan lebih banyak komuniti di mana perladangan pokok mengambil alih tanah yang digunakan oleh penduduk tetapi juga menjejaskan perlindungan iklim: Hutan yang kaya dengan karbon akan musnah dan digantikan dengan ladang pokok monokultur dengan negara mendakwa menurut definisi hutan FAO, tiada kawasan hutan yang hilang walaupun berlaku kehilangan karbon yang besar,kemusnahan biodiversiti, sumber air dan kehidupan tempatan apabila hutan digantikan dengan perladangan monokultur.
 
Satu contoh di mana perladangan dikelirukan sebagai hutan yang membolehkan industri perladangan membuka jalan untuk mendapatkan dana iklim ialah ‘African Forests Restoration Initiative” (AFR100). Dilancarkan di mesyuarat iklim PBB 2015, ia mensasarkan untuk meliputi 100 juta hektar yang dianggap oleh kerajaan Afrika yang turut serta dalam mesyuarat itu sebagai tanah “merosot”. Bank Dunia akan memperuntukkan AS$1 billion untuk rancangan ini dan bergantung kepada definisi hutan FAO untuk kelayakan mendapatkan pembiayaan itu.
 
Memeranjatkan, satu daripada syarikat perladangan pokok paling kontroversi yang beroperasi di Afrika, Green Resources yang berpangkalan di Norway (2), antara pembicara utama di persidangan 2016 di Ghana, di mana pelaksanaan inisiatif AFR100 adalah paling menonjol kepada agenda itu.
 
Tema Hari Perhutanan Sedunia FAO 2017 ‘Hutan & Tenaga’ menunjukkan tindakan segera perlu untuk menukar definisi hutan
 
“Permintaan tenaga tidak lestari negara perindustrian ditambah dengan keperluan tenaga baharu ‘boleh diperbaharui’ mereka telah pun menukar hutan dunia Selatan kepada industri ladang ‘biomass’. Perkataan ‘ladang’ tidak muncul sekali pun dalam “mesej utama” laman sesawang FAO untuk Hari Perhutanan Sedunia 2017,” kata Wally Menne dari Timberwatch Coalition, Afrika Selatan. Contohnya, untuk menyediakan semua keperluan tenaga United Kingdom melaluibiomass berasaskan eucalyptus memerlukan kira-kira 55 juta hektar ladang di Brazil – keluasan kawasannya dua kali ganda saiz United Kingdom.     
          
200 kumpulan hari ini turut serta lebih daripada 130 ribu kumpulan dan individu yang menggesa FAO pada 2015 supaya mengubah definisi hutan FAO kerana perladangan pokok bukan hutan.
 
“Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM), turut menandatangani surat terbuka ini kepada FAO.” kata S.M. Mohamed Idris, Presiden CAP dan SAM. – HARAKAHDAILY 21/3/2017

- Advertisement -