Adun Umno akui bekas PM dera Kelantan

melor Dr Yusnan Yusoff
- Advertisement -

SEORANG wakil pembangkang Datuk Md Alwi Che Ahmad (Umno-Kok Lanas) mendakwa kezaliman terhadap Kelantan pernah berlaku pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad.

- Advertisement -

Menurutnya bekas perdana menteri itu dianggap sebagai dalang menyebabkan Kelantan diabaikan dan terpinggir aspek pembangunan berbanding negeri lain.

Beliau berhujah demikian sebagai reaksi terhadap ucapan Dr Yusnan Yusof yang mengambarkan rakyat Kelantan tidak pernah melupakan kezaliman dilakukan kerajaan persekutuan.

Adun Melor terbabit sebelum itu berkata biar pun sekarang pelbagai pembangunan direalisasikan, namun banyak pembangunan diabaikan kerajaan Persekutuan sebelum ini.

Md Alwi yang juga Ketua Penerangan Umno Kelantan berkata tokoh berkenaan tidak lagi berada dalam Barisan Nasional dan sekarang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Kata beliau kerajaan yang dipimpin Datuk Seri Najib Razak menggunakan pendekatan berbeza berbanding pemerintahan sebelum itu.

“Yang peliknya, PAS boleh berada satu pentas bersama parti itu yang dipengerusi orang yang pernah menzalimi kerajaan negeri,” ujar beliau.

Merungkai isu berkenaan Dr Yusnan berkata, PAS mempunyai pendiriannya sendiri untuk berada sepentas bersama PPBM.

Antara prinsip yang digunakan membantu dalam perkara kebaikan dan ketakwaan serta tidak menolak permusuhan dan dosa.

Menurutnya, ia merupakan asas yang diambil daripada perlembagaan orang Islam iaitu al Quran dan Sunnah.

Beliau juga berkata peningkatan sosio ekonomi sesebuah negeri tidak mungkin berlaku tanpa sokongan pemerintah di peringkat persekutuan.

“Terima kasih di atas pelaksanaan pelbagai projek yang telah dan sedang dilaksanakan kerajaan persekutuan.

“Tetapi mereka perlu mengambilkira tempoh penderaan yang dilalui kerajaan dan juga rakyat Kelantan selama ini,” katanya pada persidangan Dun di Kota Bharu hari ini.

Ekoran itu Datuk Norzula Mat Diah (Umno-Paloh) meminta penjelasan taktif sebenar kezaliman kerajaan BN terhadap Kelantan.

“Memang tidak dapat dinafikan kerajaan persekutuan buat kezaliman tetapi sekarang ini apa yang dikatakan zalim itu,” ujar beliau.

Dr Yusnan berkata, kezaliman yang dilakukan kerajaan Persekutuan terhadap Kelantan pernah diakui seorang menteri. – HARAKAHDAILY 21/3/2017

- Advertisement -