Mesyuarat agung terakhir sebelum PRU14

- Advertisement -

SETIAP negeri diarahkan untuk untuk mengadakan ijtimak atau konvensyen PAS negeri sebelum Muktamar Tahunan PAS kali ke-63, yang memberikan fokus menghadap pilihan raya umum (PRU) akan datang.

- Advertisement -

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, semua meyuarat tahunan parti di peringkat kawasan yang sedang berlangsung sekarang adalah merupakan yang terakhir sebelum PRU14.

“Saya sahkan Mesyuarat Agung Tahunan puan-puan hari ini dan mesyuarat agung yang diadakan di negeri-negeri sehingga Muktamar Tahunan PAS Pusat adalah yang terakhir sebelum PRU14.

“Sama ada PRU14 diadakan pada tahun 2017, ataupun sebelum bulan Jun tahun 2018, maka inilah mesyuarat agung terakhir sebelum PRU-14. Inilah pentingnya mesyuarat agung kita pada kali ini,” jelasnya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Muslimat PAS Kawasan Marang kali ke-32 di Dewan Tok Guru, Rusila, semalam.

Justeru, Ahli Parlimen Kota Bharu itu memberi peringatan, peranan untuk menegakkan amar makruf dan nahi mungkar seperti yang diperintah Allah SWT terletak di bahu semua orang.

“Pentingnya peranan sama ada muslimin ataupun muslimat, di dalam gerakan Islam ini, di sebalik kejayaan PAS ini, berjaya sebagai parti, berjaya sebagai kerajaan, maka peranan muslimat tidak boleh dinafikan langsung, tidak boleh dipersoalkan langsung (dan) puan-puan adalah tenaga penting dalam menjayakan kejayaan dan kemantapan parti kita ini,” jelasnya dipetik Buletin Online.

Beliau menyeru seluruh ahli dan penyokong PAS bersiap siaga menghadapi pilihan raya, bagi mengambi alih pemerintahan negeri Terengganu.

Menurutnya, kerja keras itu mestilah dibuat tanpa sebarang halangan, sama ada PAS akan bertanding satu lawan satu dengan Umno atau ditentang dari pelbagai penjuru oleh parti-parti lain.

“Terengganu mesti diambil balik oleh PAS pada PRU14. Sama-samalah kita berdoa kepada Allah SWT, semoga jemaah kita ini diberikan kekuatan,” tegas beliau.

Seramai hampir 500 orang perwakilan dan pemerhati hadir pada mesyuarat itu yang turut dihadiri oleh Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Terengganu, Haji Yahaya Ali.

- Advertisement -