Kerajaan Teknokrat: Kelangsungan Pemerintahan

- Advertisement -

KERAJAAN Teknokrat bukanlah satu bentuk pemerintahan “teokrasi” atau “anti – demokrasi” sebagaimana anggapan setengah pengkaji sains politik pada waktu ini. Idea kewujudan Kerajaan Teknokrat antaranya adalah satu alternatif yang boleh dipertimbangkan dalam keadaan tertentu bagi merungkai kegusaran rakyat dalam mengemudi negara apabila wujudnya (1) keadaan yang tergantung dalam pembentukan sesebuah kerajaan akibat dari tidak adanya (deadlock) sebuah parti atau gabungan yang mempunyai kuasa politik yang jelas setelah selesai sesebuah pilihanraya, dan (2) tenaga pakar dalam bidang tertentu yang mungkin digunakan oleh sesebuah negara sebagai Menteri untuk menyelesaikan konflik atau isu besar yang melanda sesebuah negara.

- Advertisement -

Walaupun suasana yang ada dalam sistem pemerintahan negara kita sekarang ini tidak menghalang kewujudan kerajaan teknokrat, ianya masih mempunyai kekangan perlembagaan sekiranya saiz lantikan teknokrat dalam sesebuah kerajaan itu ingin dikembangkan dan berfungsi sepenuhnya. Dalam hal ini, suatu kajian yang mendalam bolehlah dipertimbangkan.

Asas Pemerintahan Sesebuah Negara
Feqah politik Islam menegaskan beberapa ciri penting dalam sistem negara yang beriman, adil dan bijaksana. Tonggaknya ialah Islam yang menjadi aqidah negara dan kepimpinannya yang tertinggi, di sampingnya Syura (Musyawarah) dan nasihat yang memelihara hak rakyat dan pemimpin.

Islam menegaskan syarat agama, ilmu dan akhlak, kemampuan jasad, akal dan roh menjadikannya lebih sempurna daripada teori ciptaan manusia. Firman Allah menceritakan kaum Bani Israel yang mendesak Nabi di zaman kejatuhannya supaya memilih seorang raja (pemimpin), setelah mereka hidup merempat beberapa abad kerana kesilapan meninggalkan Kitab Allah (Taurat):

“Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya dan dia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan? Nabi mereka berkata: Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan pengurniaan-Nya), lagi meliputi ilmu-Nya.” (Surah Al-Baqarah ayat 247)

Allah SWT mengislahkan Bani Israel yang hidup merempat setelah negara mereka dimusnahkan kerana meninggalkan petunjuk Allah daripada Kitab Suci Taurat, lalu hilangnya jati diri kaum beriman dan budiman, sehingga dihantui politik harta dan kebanggaan kepada baka dan keturunan tanpa jati diri pemimpin berwibawa, walau pun dalam keadaan hidup merempat. Apabila mereka bersemangat semula kembali menegakkan negara yang hilang setelah diutuskan nabinya, Allah mewahyukan kepada nabinya dengan firman tersebut bagi menunaikan desakan mereka. Adalah menjadi hikmat mengapa tidak nabi itu sendiri dicalonkan? Allah menolak fanatik keturunan dan kegilaan harta disebaliknya. Walaupun selepas itu Allah menjadikan Nabi Daud A.S. Khalifahnya dan Sulaiman A.S. pula Rajanya.

Imam al-Razi menafsirkan ayat tersebut dengan syarat berilmu dan berkemampuan. Maka Para ulama Feqah Siyasah seperti Ibnu Khaldun, al-Mawardi dan lain-lain menetapkan syarat ini selepas Islam (الدين)menjadi pertama dan akhlaknya yang mulia (عدالة).

Para ulama yang membahaskan sistem pemerintahan Islam menegaskan keperluan zaman mutakhir, apabila umat Islam mengalami kelemahan tokoh yang mempunyai sifat yang sepenuhnya pada diri seorang pemimpin kerana tidak seperti setiap Khulafa ar-Rasyidiin, jauh sekali jika dibandingkan dengan Rasulullah S.A.W. namun boleh mewujudkan kepimpinan secara jama’ei (kolektif) yang pernah dilaksanakan juga oleh para Khalifah yang tersebut kerana mereka tidak mencapai martabat Rasulullah S.A.W. dengan konsep Syura melalui penglibatan para sahabat yang pilihan ketokohan berilmu, berakhlak dan berpengalaman dalam berbagai bidang agama dan duniawi.

Secara khusus para ulama feqah politik yang tersebut menghuraikan kemampuan ilmu itu dengan tafsiran ilmu hukum Islam dan ilmu masalah semasa. Perkara ini dilasanakan oleh pemerintah Islam contoh di sepanjang zaman (khususnya para Khulafa ar-Rasyidiin dan Umar bin Abdul Aziz).

Betapa konsep tersebut dilaksanakan sehingga setiap orang Khalifah tersebut adalah ilmuan berpegang kepada dasar al-Quran dan Sunnah, seterusnya melibatkan beberapa tokoh anggota kabinet dan beberapa ramai lagi di setiap aspek pentadbiran dan pengurusannya, bahkan diterima pandangan kalangan rakyat yang tidak terkenal.

Setiap orang Khalifah itu menegaskan dalam ucapan dasar sebaik sahaja di Bai’ah menjadi ketua negara: “Taatilah saya selagi saya mentaati Allah dan Rasul. Sekiranya saya tidak mentaati Allah dan Rasul maka janganlah mentaati saya”.

Apabila seseorang Khalifah itu tidak menemui nas daripada al-Quran dan Hadis, dia akan bertanya khalayak yang hadir dalam masjid yang dijadikan tempat berkumpul: “Adakah kalangan kamu sesiapa yang mengetahui adanya ayat al-Quran atau Hadis dalam perkara ini ? ”. Kalau tidak ada lalu dilakukan ijtihad kajian ilmu berkonsep Rabbani (pandangan secara ilmu yang berkonsepkan keizinan hukum Islam dengan syarat-syaratnya ) terhadap setiap orang yang memberi pandangannya dalam perkara yang tidak ada nas atau Dzoniyyat (nas yang tidak nyata). Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Apabila seseorang melaksanakan hukum berijtihad kemudiannya pandangannya betul dia mendapat dua pahala dan apabila berhukum lalu dia berijtihad kemudian pandangannya salah dia mendapat satu pahala.”

Para Fuqaha telah mencatit pendapat semua mazhab, termasuk mazahab yang lemah dan tidak terkenal supaya menjadi warisan ilmu kepada generasi di sepanjang zaman, kerana kemungkinan pendapat yang tidak sesuai pada zamannya mungkin menjadi sesuai pada masa yang lain.

Islam telah berjaya mentadbir negara besar selama hampir empat belas abad dalam mengendalikan masyarakat majmuk berbagai bangsa, agama dan budaya apabila melibatkan semua ilmuan yang bermanfaat dan pengurusannya yang bijak, termasuk kalangan bukan Islam yang menerima konsep negara Islam walau pun tanpa menganut agama apabila kalangan mereka dilantik dalam Wazarah alTanfiz (anggota kabinet yang mengurus) bukannya urusan Aqidah dan menetapkan polisi yang berkait dengan dasar dan hukum. Bermakna penglibatan masyarakat majmuk dan terbuka kepada semua tamadun positif daripada Timur dan Barat dan menolak negetifnya walau pun datang daripada Tanah Suci Makkah dan Madinah. Melaksanakan konsep negara berkebajikan berpandukan firman Allah yang bermaksud:

“Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah dan hari akhirat dan segala malaikat dan segala Kitab dan sekalian Nabi dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang dia menyayanginya, kepada kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan dan kepada orang-orang yang meminta dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan dan dalam masa kesakitan dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. (Orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan) dan mereka itulah juga orang-orang yang bertakwa.” (Surah Al-Baqarah ayat 177)

Dalam dunia yang mengalami kelemahan Demokrasi Barat yang tidak ada aqidah dosa dan pahala dalam amalan politik dan pentadbirannya maka pendekatan Islam dalam aspek konsep Kerajaan Teknokrat perlu dikaji untuk dihayati semula.

Kerajaan teknokrat (technocratic governments) atau teknokrasi (technocracy) sebagaimana dibincangkan dalam ilmu sains politik adalah sebuah pemerintahan yang diterajui oleh kumpulan pakar yang mempunyai ilmu dan kemahiran yang tinggi dalam bidang masing-masing samada bidang ekonomi, keselamatan, pendidikan, kesihatan, sosial dan lain-lain. Mereka memegang tampuk pemerintahan di sektor kementerian mengikut bidang kepakaran sendiri seperti pakar ekonomi menerajui Kementerian Kewangan, pakar pendidikan memegang Kementerian Pendidikan atau pakar Kesihatan menjaga Kementerian Kesihatan. Apa yang penting adalah kepakaran dan kemahiran yang menjadi aspek utama dalam Kerajaan Teknokrat berbanding konsep kerajaan yang lain.

Kerajaan Teknokrat memiliki barisan kepimpinan negara yang punya kepakaran dan kemahiran tersendiri untuk mentadbir negara dengan lebih baik dan segala keputusan dan tindakan kerajaan akan lebih menjurus kepada keutamaan sebenar untuk kepentingan rakyat dan kurang bertujuan untuk kepentingan politik. Ini juga boleh dikatakan sebagai Kerajaan Rakyat.

Idea Kerajaan Teknokrat juga adalah salah satu solusi dengan mengambil jalan keluar dari polemik dan pertembungan parti politik yang sudah hilang arah sehingga merugikan rakyat. Ianya juga sejajar dengan tema Muktamar PAS tahun 2016 dengan mengangkat slogan “Inilah Penyelesaian Kita”.

Caranya lebih mudah kerana Islam menerima konsep hak rakyat dalam sistem demokrasi secara umum, tetapi mengkritiknya kerana pemisahannya dariapada agama, tanpa perhitungan wawasan akhirat yang menekankan perhitungan dosa dan pahala. Khususnya dalam keadaan terkini demokrasi barat yang parah kerana kelemahannya, sehingga amanah memerintah negara menjadi peluang kepentingan duniawi bagi diri, keluarga dan kroni, sehingga jawatan dan peluangnya menjadi rebutan yang tidak bermoral lagi. Sehingga melampau belum berkuasa sudah berebut jawatan, apa lagi kalau sudah mencapai kemenangan tentu kesannya lebih parah, kerana cabaran selepas berkuasa lebih besar dan berat amanahnya.
Hadis Rasulullah SAW menegaskan, bermaksud:

“Apabila umatku melakukan 15 perkara, nescaya mereka terdedah kepada bencana yang menimpanya. Lalu ditanya: Apakah ia wahai Rasulullah? Sabdanya: Apabila harta Negara berpusing dalam kalangan orang-orang tertentu sahaja, apabila amanah dianggap peluang, apabila zakat dianggap cukai, lelaki mentaati isterinya menderhakai ibunya, melayan baik kawannya dan bersikap kasar terhadap bapanya, berbuat di dalam masjid (tidak beradab), orang yang hina menjadi pemimpin, dimuliakan seseorang kerana takutkan jahatnya, berleluasa meminum arak (termasuk sepertinya dadah), lelaki memakai sutera, berleluasa penyanyi dan alat hiburan (melalaikan), orang yang akhir melaknat orang yang terdahulu. Maka tunggulah ketika itu datangnya angin membawa bala, kerosakan dan bencana.” (Hadis riwayat Termizi)

Pertama – pertamanya ialah kerosakan aqidah, akhlak dan amalan ibadah dan cara hidup sehingga politik, ekonomi dan masyarakat seluruhnya apabila meninggalkan petunjuk Islam.

Islam adalah agama yang sempurna, teguh dan anjal, sehingga menjadi petunjuk kepada seluruh manusia di sepanjang zaman dan tempat dalam semua keadaan, kerana Islam ini ciptaan Allah Pencipta Alam Yang Maha Penyayang lagi Maha Bijaksana.

Islam mengharamkan perhambaan terhadap rakyat dan pemimpin yang berlagak mejadi Tuhan. Di akhir zaman ini, Allah mengakhirkannya dengan Rasul terakhir dengan mukjizat ilmu yang menjadi petunjuk dan amaran sekerasnya, apabila manusia menolak petunjuk ini, maka merekalah yang menjadi sebab berlakunya kemusnahan seluruh alam dan berlakunya kiamat yang merosakkan seluruh alam.

Jika kita mengkaji beberapa negara yang mengamalkan sistem pemerintahan dalam bentuk kerajaan teknokrat seperti Republik Czech, Itali, Jerman, Rusia, Kanada, Tunisia, Pakistan, Bulgaria, Greece dan Romania, kita dapati setiap negara mempunyai perbezaan di antara negara lain mengikut tahap kesesuaian dan keunikan sosio-politik negara tersendiri. Cuma persamaannya adalah Kerajaan Teknokrat dibentuk ketika negara dilanda krisis yang teruk dan inilah jalan keluarnya.

Seperti contoh di Romania, Kerajaan Teknokrat telah dibentuk pada 17 November 2015 yang diketuai oleh Dacian Cioloş setelah diluluskan oleh Parlimen Romania dengan 389 undi menyokong dan 115 undi tidak menyokong.

Pelantikan Ciolos sebagai Perdana Menteri dilakukan melalui rundingan, bukan sahaja dengan partiparti politik tetapi juga dengan wakil-wakil pertubuhan rakyat. Para menteri Kerajaan Teknokrat baru ini juga terdiri daripada kumpulan pakar yang mempunyai pengalaman berkaitan dalam bidang mereka sendiri yang diperoleh sama ada dalam atau di luar negara Romania.

Antaranya, Menteri Kesihatan adalah bekas Pengarah Institut Onkologi di Cluj-Napoca, salah satu bandar terbesar di Romania. Menteri Dana Eropah juga pernah bekerja di Jabatan Wilayah Politik Eropah dan Bank Pembangunan Eropah. Menteri Kewangan pula ialah seorang Pakar Penganalisis Ekonomi bagi Suruhanjaya Eropah dan juga telah bekerja selama lebih daripada 10 tahun di International Monetary Fund (IMF).

Satu portfolio baru telah dibentuk iaitu Menteri Perundingan Awam dan Majlis Dialog Rakyat bagi menjamin nilai demokrasi dalam Kerajaan Teknokrat yang hanya diberi tempoh satu tahun untuk melakukan pembaharuan dalam pentadbiran, kewangan, keadilan, infrastruktur dan pendidikan.

Perkara yang sama berlaku di Itali, ketika berlakunya krisis hutang negara yang melambung tinggi dan kos sara hidup yang mencengkam rakyat, Kerajaan Teknokrat dibentuk dan diketuai oleh birokrat yang tidak dipilih melalui pilihanraya dan tidak dikenali sebagai ahli politik.

Mario Monti, Pakar Ekonomi Itali dilantik menjadi Perdana Menteri Itali sejak tahun 2011 hingga 2013. Kerajaan ini dibentuk dengan persetujuan parti ‘mainstream’ yang tidak boleh lagi mentadbir negara dan parti pembangkang yang berjanji untuk memulihkan kerajaan secara demokratik dan responsif.

Sehingga awal tahun 2013, telah terdapat 24 kerajaan yang diketuai oleh teknokrat dalam 27 negara anggota EU dan hampir separuh menjadikan Kerajaan Teknokrat sebagai ‘caretaker governments’ atau ‘kerajaan sementara’. Dalam erti kata lain, Kerajaan Teknokrat dibentuk untuk menyelesaikan krisis negara dalam tempoh tertentu sementara menunggu pilihanraya seterusnya untuk diberi mandat kepada parti politik yang layak dipilih menjadi pemerintah.

Sekurang-kurangnya terdapat tiga Kerajaan Teknokrat penuh dalam sepuluh tahun yang lalu di negara anggota EU iaitu Monti di Itali (2011-2013), Gordon Bajnai dalam Hungary (2009-2010), dan Jan Fischer di Republik Czech (2009-2010).

Oleh kerana konsep Kerajaan Teknokrat luas tafsirannya dan boleh disesuaikan mengikut keadaan sesebuah negara. Maka jika diamalkan dalam konteks negara Malaysia yang bersistemkan demokrasi berparlimen, ada beberapa sebab penting wajarnya Kerajaan Teknokrat diamalkan;

Pertama, penubuhan Kerajaan Teknokrat dapat mengendurkan ketegangan politik antara parti-parti politik. Ianya juga dianggap lebih bersih berbanding kerajaan oleh ahli politik yang kerap dikaitkan dengan penyelewengan dalam bentuk penggunaan dana dan kemudahan awam untuk kepentingan politik kepartian. Model ini dapat mengembalikan kepercayaan rakyat kepada parti-parti politik yang bersedia duduk semeja samada parti kerajaan atau parti pembangkang untuk menyelesaikan masalah rakyat dengan lebih rasional demi kepentingan rakyat dan masa depan negara.

Kedua, memanfaatkan tenaga pakar yang punya kemahiran dan kepakaran dengan meletakkan mereka dalam barisan kepimpinan negera untuk mengendalikan urusan pemerintahan mengikut bidang masingmasing. Tindakan dan keputusan Kerajaan Teknokrat akan lebih menjurus kepada keutamaan rakyat, bukannya semata-mata untuk kepentingan parti politik.

Dalam konteks Malaysia, secara umumnya Perlembagaan Persekutuan tidak menghalang pembentukan Kerajaan Teknokrat. Namun perlu disesuaikan dengan sistem pemerintahan negara dan Perlembagaan Persekutuan khususnya perkara yang melibatkan pelantikan Perdana Menteri dan menteri-menteri yang sememangnya menjadi syarat perlu menjadi ahli Dewan Rakyat dan bertanding dalam pilihanraya terlebih dahulu. Walaupun ada sebahagian menteri boleh dilantik melalui ahli Dewan Negara tapi ianya terhad dan tempoh masanya juga berbeza dengan ahli Dewan Rakyat.

Oleh itu para pemimpin yang dipilih rakyat kerana pengaruhnya yang sebenar atau menipu dapat menunaikan amanah dengan Islah, melalui konsep kerajaan Teknokrat yang anjal melakukan perubahan sekiranya terdapat kesilapan atau kelemahan dalam tempoh penggalnya.

“Inilah Penyelesaian Kita”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS – HARAKAHDAILY 18/3/2017

Ucapan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam Konvensyen Professional Malaysia 2017 bertema “Mempersada Kerajaan Teknokrat” di Cyberjaya, pada 18 Jamadil Akhir 1438 H/ 17 Mac 2017 M

- Advertisement -