Kepimpinan Islam: 3K junjung titah Sultan Selangor

- Advertisement -

KARNIVAL Kampungku Kesayanganku (3K) pada tahun ini membawa mesej dititahkan Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya menjadikan Selangor sebagai tanda aras ketamadunan kepimpinan Islam.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi negeri, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata tema ini bersesuaian dengan senario semasa yang menyaksikan terdapat banyak kes salah laku melibatkan pemimpin sejak akhir-akhir ini, lapor SelangorKini.
 
“Penerapan yang kita bawa dalam Karnival 3K tahun ini berkaitan dengan soal kepimpinan terutamanya masyarakat Islam supaya mengambil peranan dalam titah DYMM Sultan Selangor supaya Selangor dijadikan penanda aras ketamadunan kepimpinan Islam.

“Ini amat bertepatan dengan keadaan hari ini di mana setiap hari kita dengar isu salah tadbir urus, salah laku pemimpin yang terlibat dengan rasuah dan sebagainya dan saya kira penerapan inilah yang kita nak bawa kepada pemimpin di Selangor tak kita pemimpin dalam keluarga atau jabatan, agensi, malah ke peringkat kerajaan negeri.

“Kita mahu tadbir urus yang baik, ketelusan, kebertanggungjawaban, integriti itu akan diterapkan dalam kepimpinan di semua lapisan peringkat,” katanya kepada SelangorKini selepas merasmikan Karnival 3K di Masjid At-Taqwa, Kampung Bukit Kapar, Klang malam tadi.

Jelasnya, selain itu Karnival 3K turut membawa agenda memperkasakan aqidah ahli sunnah wal jamaah berikutan semakin banyak kefahaman dan ajaran sesat menggugat kesejahteraan umat Islam di negara ini.

Katanya, turut disampaikan melalui Karnival 3K tahun ini adalah mesej memperkasakan institusi kekeluargaan supaya melahirkan generasi baik pada masa hadapan.

- Advertisement -