Kenduri Amal pupuk nilai murni dalam masyarakat

amal2
- Advertisement -

PROGRAM Kenduri Amal sempena majlis walimatulurus keluarga Rosli Abdullah, salah seorang anggota Amal Hulu Langat di Beranang telah diangkat menjadi satu program Kebajikan “A Day for Charity” Jabatan Amal Malaysia Negeri Selangor.

- Advertisement -

Menurut Pengarah Program Saudara Noor Ahmad Noordin, objektif program Kenduri Amal ini adalah bagi memupuk samangat bantu membantu dan tolong menolong di kalangan anggota Amal dalam mendepani kehidupan bermasyarakat.

Walaupun sebelum ini anggota amal sudah biasa membantu menjadi penanggah, mencuci dan memasak namun kali ini anggota Amal terlibat sepenuhnya dari penyediaan kewangan, mencari lembu, membeli barang dan mencari khemah sehinggalah memasak dan membantu mengangkat dan mencuci pinggan,  pendek kata hampir keseluruhannya diuruskan oleh anggota Amal.

Seramai lebih 50 anggota Amal seluruh negeri Selangor telah hadir membantu dari proses persiapan sehinggalah pada hari majlis diadakan. Mereka hadir bergilir membantu mengikut kawasan yang telah ditetapkan oleh pengarah program. Kerjasama yang berlangsung ini telah membina semangat ukhwah antara anggota Amal dari pelbagai kawasan.

“Mereka kini sudah boleh buat kenduri sendiri kalau nak kahwin lagi,” seloroh Pengarah Amal Negeri Selangor, Ustaz Hanafi Zulkapli yang melihat kesungguhan para jawatankuasa program yang telah berjaya melaksanakan satu majlis kenduri walimah yang besar ini.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat, Ketua Muslimat PAS Negeri Selangor, Ustazah Wan Hasrina Wan Hasan dan Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor, Ustaz Syarhan Huzaimi Abd Halim. Kehadiran mereka disambut oleh Pengarah Amal Negeri Selangor dan juga Ketua Pengarah Jabatan Amal Malaysia, Mohd Nazree Mohd Aris.

Pada Kenduri Amal kali ini 2 ekor lembu telah ditumbangkan hasil sumbangan pimpinan PAS Negeri Selangor dan orang perseorangan termasuklah anggota Amal sendiri, sekali gus membina nilai-nilai yang baik dalam diri anggota Amal dalam mendepani masyarakat luar sana. – HARAKAHDAILY 18/3/2017

- Advertisement -