Apakah status kisah Nabi SAW dan Yahudi buta?

- Advertisement -

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-173: KEBENARAN KISAH NABI SAW DAN YAHUDI BUTA
Ditulis oleh Muhammad Mushfique Bin Ahmad Ayoup @ Ayub
Diterbitkan: 17 Mac 2017
 
Soalan: Apakah status kisah Nabi SAW dan Yahudi buta?

- Advertisement -

Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Berdasarkan soalan di atas, terdapat beberapa kisah yang berlaku antara Rasulullah SAW dan seorang yahudi buta. Antara kisah yang masyhur dan sering kita dengar di meja-meja penceramah adalah:

“Di pasar Madinah terdapat seorang yahudi miskin dan buta. Lelaki ini sentiasa mengingatkan orang yang lalu hampir dengannya dengan berkata kepada mereka Muhammad adalah seorang pendusta dan penyihir. Di samping itu juga, dia sering mengejek dan menghina Nabi SAW. Disebabkan itu, Rasulullah SAW sering menziarahinya pada setiap pagi untuk memberi makan kepada lelaki tersebut tanpa Rasulullah SAW berkata sesuatu atau memberitahu siapa dirinya. Nabi SAW melazimi hal tersebut sehinggalah Baginda SAW wafat lalu tiada lagi yang memberi makan kepada lelaki tersebut. Pada suatu hari, Abu Bakar RA bertanya kepada Aisyah RA: Adakah terdapat sunnah daripada sunnah-sunnah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW yang tidak aku lakukan?. Aisyah RA menjawab: Sesungguhnya engkau telah mengikuti kesemua sunnahnya melainkan satu perkara. Lalu Aisyah RA menceritakan bahawa Rasulullah sentiasa memberi makan kepada seorang yahudi yang buta pada setiap pagi. Setelah itu, Abu Bakar RA terus mengambil makanan dan pergi ke rumah lelaki tersebut untuk memberinya makan tetapi yahudi tersebut menyedari bahawa orang yang memberinya makan ini bukanlah orang yang sama seperti sebelum ini. Yahudi itu bertanya kepada Abu Bakar siapakah yang memberinya makan sebelum ini, lalu Abu Bakar mengatakan bahawa beliau adalah Rasulullah SAW. Apabila mendengar sahaja penjelasan daripada Abu Bakar RA, yahudi itu menangis dan menyesal dengan perbuatannya yang sering menyakiti Nabi SAW dengan kata-katanya. Akhirnya, yahudi tersebut masuk Islam akibat daripada perbuatan Nabi SAW itu”.

Setelah kami meneliti serta cuba untuk mencari sumber dan kesahihan kisah ini, kami tidak menjumpai asal atau sumber kisah ini. Untuk itu, kita tidak dibenarkan untuk menyebarkannya kepada orang lain kerana kisah ini tidak thabit daripada Nabi SAW.

Di sana terdapat sebuah kisah yang sahih di antara Rasulullah SAW dan seorang budak berbangsa yahudi. Kisah ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari di dalam kitabnya Sahih al-Bukhari:

Daripada Anas bin Malik RA berkata:

كَانَ غُلاَمٌ يَهُودِيٌّ يَخْدُمُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَمَرِضَ، فَأَتَاهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعُودُهُ، فَقَعَدَ عِنْدَ رَأْسِهِ، فَقَالَ لَهُ: «أَسْلِمْ»، فَنَظَرَ إِلَى أَبِيهِ وَهُوَ عِنْدَهُ فَقَالَ لَهُ: أَطِعْ أَبَا القَاسِمِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَسْلَمَ، فَخَرَجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَقُولُ: الحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَنْقَذَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: Terdapat seorang budak yahudi yang membantu Nabi SAW menderita sakit. Maka Nabi SAW datang kepadanya untuk menziarahinya. Lalu Baginda SAW duduk di bahagian kepalanya sambil bersabda: “Masuklah kamu ke dalam Islam”. Budak tersebut melihat ayahnya yang berada di sisinya. Ayahnya berkata kepadanya: “Taatlah kamu kepada Abu al-Qasim (Rasulullah SAW)”. Maka budak tersebut memeluk Islam. Setelah itu, Nabi SAW keluar (daripada rumahnya) sambil bersabda: “Segala puji bagi Allah yang telah membebaskannya dari api neraka”. [Riwayat al-Bukhari (1356)]

Penutup

Kesimpulannya, terdapat banyak kisah-kisah berkaitan Rasulullah SAW yang sering diungkapkan di meja-meja penceramah. Namun begitu, kita perlulah mengenalpasti akan kesahihannya kerana menyandarkan sesuatu yang tidak sahih kepada Nabi SAW adalah termasuk di dalam pendustaan kepada Baginda SAW. Akhirnya, semoga Allah mengurniakan kita akhlak yang terpuji sebagaimana junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW yang sentiasa disenangi oleh bangsa dan agama lain. Amin.

Wallahua’lam

- Advertisement -