PH sepatutnya tumpu negeri dikuasai BN

- Advertisement -

PAS mencadangkan Pakatan Harapan (PH) tidak bertanding di Kelantan dalam pilihan raya akan datang.

- Advertisement -

Komitmen mereka untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN), dan keperluan terhadap usaha itu dengan memilih negeri-negeri yang dikuasai Umno dan BN.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS sudah memerintah negeri itu lebih 26 tahun.

Menurutnya juga Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) perlu lebih jelas pendirian perjuangan mereka.

“Mereka hendak tumbangkan Umno atau hendak menumbangkan siapa, kalau matlamat menumbangkan Umno, di Kelantan Umno sudah lama tumbang.

“Tidak ada keperluan itu, jadi kita kena tentukan kita bina parti ini hendak tumbangkan Umno atau hendak mempertahankan Umno kalau dalam konteks Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan tazkirah di Medan Ilmu Jalan Dato’ Pati Kota Bharu pagi tadi.

Perkara tersebut timbul apabila Ketua Penerangan PPBM, Datuk Kamaruddin Md. Nor berkata, pertandingan tiga penjuru mungkin akan berlaku.

Menurutnya, pertembungan itu disebabkan PAS masih belum membuat keputusan mengenai hubungan dengan PPBM.

Tuan Ibrahim mengakui bahawa PAS belum mengeluarkan keputusan rasmi tentang isu berkenaan.

Walaupun ada kepimpinan PAS yang sudah memberi gambaran hubungan PPBM tidak akan berlaku, beliau berkata, ia merupakan pendapat peribadi.

“Ia merupakan hanya bayangan sesetengah pemimpin kita, tetapi secara rasmi PAS belum mengeluarkan keputusan.

“Kita akan mengadakan mesyuarat parti yang bakal diadakan pada April depan sebelum Muktamar PAS bermula,” katanya.

Menurutnya sebarang keputusan sama ada menyertai Pakatan Rakyat dan persefahaman politik sebelum ini diputuskan dalam mesyuarat tersebut.

Beliau berkata, pertemuan antara kedua-dua belah pihak setakat ini, hanya perbincangan pada ahli jawatankuasa teknikal.

“Cuma kita akan perhatian beberapa isu seperti pendirian Bersatu, kalau dia mengambil keputusan menyerang Kelantan, kita akan bertindak.

“Bahkan kita tidak teragak-agak tidak akan mengadakan hubungan kerana bagi kita, tidak ada keperluannya,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 17/3/2017

- Advertisement -