Solat hajat, munajat elak bencana H5N1

- Advertisement -

MENGAMBIL kira Kelantan diisytiharkan sebagai wabak H5N1, Dewan Ulamak PAS Negeri akan mengadakan solat hajat dan munajat perdana di Medan Ilmu, Kota Bharu pagi esok.

- Advertisement -

Setiausahanya Ustaz Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata solat hajat itu akan diadakan bermula jam 8 pagi sebelum bermula kuliah sesi pertama.

“Solat hajat dan munajat bagi mendoakan keselamatan Kelantan daripada wabak yang melanda negeri ini sekarang,” katanya di sini.

Kelantan diisytiharkan sebagai bencana dan diletakkan di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) ekoran wabak tersebut.

Virus H5N1 dikesan di Kampung Pulau Tebu, Tunjong pada 6 Mac lalu berikutan beberapa ekor ayam kampung ditemui mati.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bio Teknologi dan Teknologi Hijau Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, sehingga sekarang empat jajahan terbabit wabak itu.

Katanya jajahan Bachok dan Pasir Puteh antara yang terbaru dikesan berbanding sebelum ini Kota Bharu dan Pasir Mas.

“Sebanyak 23 kampung disahkan sebagai pembawa virus tersebut, di mana 18 kampung di Kota Bharu. Sehingga kini lebih 24,768 unggas dimusnahkan sebagai langkah pengawalan,” katanya semalam.

Saripudin berkata orang ramai dijemput hadir pada program solat hajat pagi esok dengan membawa sejadah.

Selain itu katanya, Urusan Ulamak Kawasan juga diarahkan mengadakan solat hajat dan munajat bermula malam ini. – HARAKAHDAILY 16/3/2017

- Advertisement -