Bekas pelajar Maahad wujudkan kompleks sukan

alumskuasy 1
- Advertisement -

PERSATUAN Bekas Pelajar Maahad Muhammadi Kota Bharu atau lebih dikenali dengan Alumni Maahad Muhammadi (AMM) sedang dalam usaha membaik pulih sebuah bangunan yang berada di Maahad Muhammadi Lelaki untuk dijadikan sebagai sebuah kompleks pentadbiran dan sukan Alumni.

- Advertisement -

Bangunan itu asalnya adalah sebuah kilang ukiran kayu, dibeli oleh AMM melalui sumbangan dan kutipan derma termasuk melalui majlis makan malam yang dianjur oleh pihak AMM.

Demikian menurut Yang Dipertua AMM, Dr Nazmi Ghazali Azmi sewaktu menyeru sumbangan bagi membiayai projek tersebut.

“Bahagian bangunan dua tingkat akan menempatkan Pejabat Alumni dan Pejabat Koperasi Alumni. Bersambungan dengan pejabat berkenaan, kami mengusahakan sebuah gelanggang ping-pong dan pusat sukan squash sebagai sumbangan kepada pembangunan sukan yang jarang disertai oleh pelajar aliran agama. Sebuah binaan berasingan sebagai gelanggang futsal akan turut dibina bersebelahan bangunan ini”.

“Kami ingin memecah tradisi sebagai sebuah pertubuhan alumni yang mampu mengeluarkan pemain squash daripada kalangan pelajar beraliran berkenaan,” katanya.

Dengan terbinanya Gelanggang squasy ini, ia akan menjadi yang pertama bagi sekolah agama di bawah Yayasan Islam Kelantan dan yang kedua seumpamanya di Kota Bharu selepas gelanggang squasy di Kompleks Sekolah-Sekolah di Wakaf Mek Zainab.

Menurut Nazmi lagi setakat ini pihak AMM menerima serba sedikit sumbangan terutama daripada alumni dalam bentuk material seperti sumbangan cat, bahan binaan dan sebagainya selain daripada sumbangan dalam bentuk wang tunai.

Bagi menyempurnakan projek kebajikan AMM untuk sekolah Maahad Muhammadi, beberapa elemen binaan masih memerlukan sejumlah kos termasuk tempat letak motosikal berbumbung untuk para pelajar yang juga akan dibina oleh AMM. Sumbangan untuk projek pembangunan ini boleh disalurkan ke dalam akaun Tabung Pembangunan Abdul Rahman al-Makki.

Dalam perkembangan lain, Nazmi memaklumkan bahawa mesyuarat agung tahunan AMM akan berlangsung pada 18 Mac ini di Dewan Muhammadi, Maahad Muhammadi Lelaki dekat sini.

“Saya mengharapkan ribuan bekas pelajar Maahad samada Maahad Muhammadi Lelaki mahu pun Maahad Muhammadi Perempuan agar dapat hadir bersama bagi memberi apa-apa sumbangan terutama dalam bentuk pandangan dan idea.

“Kita maklum bahawa di luar sana terlalu ramai lepasan Maahad Muhammadi dalam pelbagai bidang agama dan profesional yang boleh pulang membalas jasa sekolah bertepatan dengan tema AMM, Kembali Berbudi,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 16/3/2017

- Advertisement -