SAM gesa henti tambak laut di Kuala Kedah

- Advertisement -

SAHABAT Alam Malaysia (SAM) menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengambil tindakan segera menghentikan projek tambak laut berhampiran Kampung Tepi Laut dekat Kuala Kedah kerana ia tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan serta memusnahkan hutan paya laut dan mengancam sumber pendapatan nelayan pantai di kawasan itu.

- Advertisement -

SAM kesal dengan kerajaan Kedah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri ini kerana membenarkan kegiatan tersebut dilakukan sejak beberapa bulan yang lalu walaupun belum mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA).  Laporan EIA ini sedang dipamer untuk ulasan awam dari 5 Mac hingga 25 Mac 2017.

Tinjauan SAM mendapati lebih kurang 1 km laut di sini telah ditambak oleh pihak pemaju projek pembangunan berkenaan dan hampir 10 hektar hutan paya laut di persisiran pantai telah musnah di samping mengancam hidupan laut dan sumber pendapatan 500 keluarga nelayan tempatan yang mencari rezeki di kawasan tersebut.

Nelayan pantai dan nelayan tradisi di Kampung Tepi Laut dan Kampung Tengku Laksamana Tepi Laut Sejak projek tambak laut ini mengadu bahawa sejak projek tambak laut ini bermula hasil tangkapan mereka telah berkurangan antara 20 hingga 30% sehari kerana sumber tangkapan utama seperti ikan, udang, ketam, siput, kerang dan lala semakin berkurangan dan hampir pupus.

Sebelum ini nelayan terbabit boleh memperolehi pendapatan mencecah RM100 sehari tetapi sekarang hanya mendapat antara RM40 hingga RM80 sahaja sehari.

Keadaan ini akan menjadi lebih serius jika projek tambak laut di kawasan tersebut diteruskan dan hutan paya laut di tempat itu musnah. SAM kesal walau pun awalnya penduduk-penduduk kampung terutama nelayan di sini membantah rancangan projek penambakan laut di kawasan tersebut tetapi ia tidak dihiraukan dan diteruskan juga oleh pihak kerajaan negeri ini.

Selain sumber perikanan di perairan Kuala Kedah diancam kepupusan dan mata pencarian nelayan teruk terjejas, kesan ke atas alam sekitar akan menjadi lebih buruk apabila hutan paya laut yang menjadi tempat pembiakan hidupan laut turut mengalami kemusnahan dan Zon A kawasan tangkapan nelayan pantai diancam pencemaran sisa lumpur akibat dari aktiviti penambakan laut di sini.  

Justeru, SAM meminta Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar dan kerajaan Kedah menghentikan projek pembangunan di kawasan tersebut kerana projek itu kini ternyata melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan 2012) dan memberi kesan buruk ke atas alam sekitar dan kehidupan penduduk tempatan.

Penulis ialah Presiden Sahabat Alam Malaysia.

- Advertisement -