Bina 5,000 rumah mampu milik penggal ke-13

- Advertisement -

KERAJAAN negeri yakin mencapai sasaran menyiapkan 2,000 hingga 5,000 unit rumah mampu milik pada penggal ke-13 sekarang di seluruh Kelantan.

- Advertisement -

Menteri Besar, Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, sehingga hari ini lebih 600 unit rumah mampu milik siap dibina anak syarikat kerajaan negeri.

Katanya, bagi merealisasikan usaha tersebut sebanyak 1,300 unit rumah mampu milik akan dibina di Bunut Susu, Tendong dan Berangan Mek Nab di Machang.

“Sasaran kita antara 2,000 hingga 5,000 unit, kalau dapat 2,000 unit alhamdulillah, kalau lebih dari itu lagi baik. Kita sedang usahakan bagi capai sasarannya.

“Insya Allah akan menjadi kenyataan dengan kerjasama semua pihak,” katanya selepas merasmikan pecah tanah projek tersebut di Meranti, Pasir Mas petang tadi.

Turut hadir Speaker Dun, Datuk Abdullah Ya’kob, anggota-anggota Exco kerajaan negeri Datuk Abdul Fattah Mahmood, Datuk Hanifa Ahmad, Datuk Nassuruddin Daud serta wakil-wakil rakyat.

Projek tersebut dilaksanakan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) di kawasan seluas 5.3 ekar bakal menempatkan 64 unit rumah.

Menurutnya juga kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM9 juta setahun bagi melaksanakan projek berkenaan yang dikendalikan PMBK dan Perbadanan Iktisad Kemajuan Negeri Kelantan. – HARAKAHDAILY 15/3/2017

- Advertisement -