Anak muda Kg Laut anjur kesyukuran

- Advertisement -

ANAK-anak muda di Kampung Laut Dun Pasir Pekan, Tumpat akan menganjurkan majlis kesyukuran malam ini berikutan bekas Ketua Cawangan Kampung Laut 1 menyertai Parti Amanah Negara (PAN) baru-baru ini.

- Advertisement -

Pada malam Jumaat lepas bekas cawangan terbabit Nordin Adam menyertai PAN pada program ceramah anjuran parti serpihan terbabit di Kampung Laut.

Ekoran penyertaan bersama PAN Nordin dikatakan mengisytihar membubarkan cawangan PAS berkenaan.

Tindakan Nordin dipertikai banyak pihak memandangkan cawangan itu masih lagi wujud sehingga sekarang dan dipangku Timbalan Ketua Cawangan Nik Abdullah.

Naib Yang Dipertua PAS Tumpat Wan Roslan Wan Hamat berkata majlis kesyukuran tersebut dianjurkan anak-anak muda di kampung berkenaan.

Katanya, program itu bukan anjuran cawangan sebaliknya dikendalikan anak-anak muda yang sudah lama tidak senang dengan tindak tanduk bekas Ketua Cawangan.

“Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob yang juga Adun Pasir Pekan dijangka hadir pada malam ini sebagai menghargai kesungguhan anak-anak muda.

“Menteri Besar akan menaikkan bendera gergasi di tiang setinggi 20 kaki sebagai gimik PAS semakin mantap di cawangan berkenaan,” katanya.

Wan Roslan juga berkata, PAS akan mewujudkan sebuah lagi cawangan di Kampung Laut memandangkan semakin ramai penduduk dan anak-anak muda menyertai PAS.

Katanya, sehingga sekarang terdapat 100 ahli baru di mana sebahagian besarnya kalangan anak-anak muda.

Malam esok juga akan diadakan ceramah di Dataran Purnama Kampung Laut yang dijangka dihadiri Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ketua Penerangan PAS Negeri Datuk Nassurudin Daud. – HARAKAHDAILY 15/3/2017

- Advertisement -