PAS Parit tekad tanding semua kerusi PRU 14

- Advertisement -

PAS Kawasan Parit menyatakan komitmen dan tekad untuk menyumbangkan ketiga-tiga kerusi di Parlimen Parit, termasuk dua Dun untuk kemenangan PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang akan berlangsung tidak lama lagi.

- Advertisement -

Untuk memastikan setiap ahli, penyokong dan pendokong berusaha keras untuk memastikan kejayaan PAS Kawasan Parit mendominasi ketiga-tiga kerusi yang bakal ditandingi PRU akan datang maka beliau menyarankan semua pihak perlu memainkan peranan terbaik.

Yang Dipertua PAS Kawasan Parit, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib berkata demikian ketika Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Parit kali ke-51 di Markaz PAS Titi Gantung, Parit, 13 Mac lalu.

“Untuk memastikan PAS menjadi kuasa penentu dalam PRU-14, Tuan Guru Presiden meletakkan sasaran 40 kerusi Parlimen, dan kita (Parit) perlu memastikan Parit termasuk di kalangan 40 kerusi tersebut.

“PRU-14 bakal menyaksikan Tsunami Politik Islam dan Melayu, justeru Parit sebagai kawasan yang mempunyai majoriti Melayu tertinggi, perlu melipatgandakan usaha untuk memastikan kejayaan dalam PRU-14 nanti.

“Saya menyeru kepada semua ahli dan penyokong PAS, agar tidak lagi ragu-ragu dengan PAS, sebaliknya terus bersama berjuang memenangkan PAS dan mendaulatkan Islam dalam PRU-14 nanti,” ujarnya.

Ustaz Ismi yang juga menang tanpa bertanding bagi jawatan Yang DiPertua, merupakan calon PAS yang bertanding bagi kerusi Parlimen Parit dalam PRU-13 yang lalu.

Dalam pemilihan sempena mesyuarat agung ke-51 menyaksikan semua jawatan utama dalam PAS Kawasan Parit dimenangi tanpa ada pertandingan, termasuk jawatan Timbalan Yang DiPertua, Naib Yang DiPertua, Ketua Dewan Muslimat, Ketua Dewan Pemuda dan beberapa jawatan utama dalam sayap utama PAS Kawasan Parit tersebut.

Ismi juga telah mengisyhtiharkan pendaftaran ahli baru PAS Parit seramai 355 orang sempena kempen PAS Pilihanku yang dilancarkan sejak dua bulan yang lalu.

Menurutnya, itu adalah rekod pencapaian terbaik PAS Kawasan Parit, kerana berjaya mendaftarkan seramai 355 orang ahli PAS yang baru.

Beliau menyatakan bahawa jumlah pendaftaran tersebut menunjukkan sokongan terhadap PAS semakin bertambah, sekalipun ada pihak yang mendakwa PAS akan lumpuh kerana kononnya kehilangan ahli dan pimpinan PAS dalam krisis Pasca Pemilihan 2015. – HARAKAHDAILY 13/3/2017

- Advertisement -