Perundangan syariah cuba disekat DAP, sekutunya

- Advertisement -

DAP telah bertindak menentang usaha memperkenalkan perundangan Islam menerusi Mahkamah Syariah walaupun rundingan dan usaha pindaan akta berkaitan semakin menghampiri kejayaan.

- Advertisement -

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, usaha meminda Akta 355 merupakan kesinambungan dari asas yang telah dibina oleh generasi awal semasa menuntut kemerdekaan.

Di mana jelas beliau, rombongan kemerdekaan telah berunding dengan Suruhanjaya Reid yang menggubal Perlembagaan Persekutuan hingga berjaya meletakkan Islam dalam draf tersebut.

“Tetapi mereka (Suruhanjaya Reid) menafsir Islam itu mengikut perkataan ‘religion’ dalam Bahasa Inggeris, bukan perkataan ‘ad-din’ daripada al-Quranul karim. Di sini terdapat percanggahan.

“Namun, Reid terus meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, perkataan ‘religion’ dengan membuat berapa halangan melalui Jadual Kesembilan yang disebut 355 hari ini,” ujarnya pada Majlis Makan Malam dan Dialog Politik di Setiawangsa, Kuala Lumpur semalam.

Menurutnya, Perlembagaan tersebut turut memperuntukan bahawa agama-agama lain diberi hak kebebasan untuk diamalkan, tetapi tidak kepada kepada Islam.

Islam jelasnya, walaupun diserahkan di bawah kuasa Raja-raja dan kuasa negeri, tetapi Jadual Kesembilan menghalang Mahkamah Syariah untuk menghukum mengikut Syariat Islam.

Terang beliau, Mahkamah-mahkamah Syariah yang ada lebih rendah kedudukan dan kuasanya dari Mahkamah Majistret di peringkat daerah dan Perlembagaan memperuntukkan orang bukan Islam tiada kaitan langsung dengan Mahkamah Syariah.

Menurut Tuan Guru lagi, senario pindaan telah dilakukan sedikit demi sedikit dalam tahun 1960-an dan 1980-an, tetapi masih tetap rendah dari Mahkamah Majistret, di mana masih 356 iaitu merujuk 3 tahun penjara, RM5,000 dan enam kali sebatan.

Itupun ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Marang, sebatan dilakukan mengikut Mahkamah Sivil dan bukannya sebagaimana sebatan dalam Islam hingga menyebabkan kekeliruan.
 
“Setelah kita 50 tahun mencapai kemerdekaan, sepatutnya kita pinda kepada yang lebih baik. PAS telah berusaha beberapa kali melalui Parlimen. Oleh kerana ‘Standing Order Parliament’ (SOP) tidak mengizinkan pembangkang untuk membuat pindaan, (maka) bagi memecahkan SOP ini, Kerajaan Kelantan di bawah PAS mengadakan rundingan dengan Kerajaan Pusat.

“Hasil rundingan itu, akhirnya bersetuju untuk meminda 355, meninggikan taraf Mahkamah Syariah lebih daripada Mahkamah Majistret dan memperkenalkan beberapa hukum Islam, hukum sebatan mengikut adab-adab Islam. Setelah rundingan ini berjaya, malangnya kita mendapat tentangan daripada DAP dan beberapa parti lain ikut DAP.

“Ini sudah langgar sempadan, sebabnya RUU ini berkait dengan orang Islam, Mahkamah Syariah berkait dengan orang Islam, tak ada kena mengena dengan orang bukan Islam,” tegas beliau memaklumkan RUU tersebut akan dibawa pada sidang Parlimen kali ini.

Tambahnya, beliau menerima maklumat bahawa Perundangan Syariah di Acheh diterima masyarakat Buddha di sana setelah diberi pilihan dengan perundangan sivil.

Jelasnya, perkara itulah yang ditakuti DAP dan terdapat pihak lain juga di belakang DAP serta yang mengikuti mereka. – HARAKAHDAILY 12/3/2017

- Advertisement -