Pelan induk pertanian Selangor siap Mei ini

- Advertisement -

KERAJAAN negeri dalam usaha menyiapkan pelan induk bagi pembangunan pertanian di Selangor untuk jangka masa sehingga 10 tahun.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Zaidy Abdul Talib berkata, pihaknya telah meminta agar Unit Perancangan Ekonomi Selangor (UPEN) menyiapkan pelan induk pembangunan pertanian yang dijangka siap pada pertengahan tahun ini.
 
“Banyak kajian dibuat secara menyeluruh melalui pelan ini serta diletakkan rangka strategi bagi membangunkan pertanian di Selangor dijangka Mei ini siap.

“Pelan ini juga dalam usaha meningkatkan tahap pengeluaran hasil pertanian untuk makanan seperti sayur-sayuran, ternakan lembu, ayam pedaging dan akuakultur,” katanya kepada ketika Majlis Perasmian Program Karnival Jelajah Infratani Peringkat Dun Sungai Burong, Tanjung Karang, semalam.

Tambahnya lagi, perkara itu adalah penting kerana bekalan makanan atau sekuriti makanan perlulah mencukupi atau sekurangnya boleh menampung dalam beberapa ketika untuk bilangan rakyat yang ramai jika terjadi krisis makanan.

Memetik laporan SelangorKini semalam, beliau berkata jika berlaku perkara seperti itu, sudah tentu penggunaan tanah menjadi faktor kritikal memandangkan Selangor merupakan negeri perindustrian dan mempunyai jumlah penduduk tinggi akan menjadi lebih mencabar.

“Dengan siapnya pelan induk pembangunan pertanian ini, diharap ianya merangkumi aspek penggunaan tanah yang optimum bukan sahaja kurang dari segi penggunaan keluasan tanah tetapi boleh menjana hasil yang tinggi melalui penggunaan teknologi dan konsep pertanian moden,” katanya.

- Advertisement -