Redha Allah SWT matlamat perjuangan PAS

- Advertisement -

MASIH terdapat mereka yang keliru dalam menilai bagaimana cara PAS berjuang. Bagaimana PAS beraksi di pentas politik. Mereka hairan kenapa PAS menjadikan agama sebagai asas perjuangannya. Cemburu mereka bukan kepalang apabila PAS terus meraih sokongan ummah meskipun diselubungi fitnah dan tohmahan dari segenap sudut.

- Advertisement -

Mereka sangat terdesak melihat risalah perjuangan PAS kian diterima masyarakat dari pelbagai latar. Sebahagian mereka berusaha untuk menyingkirkan PAS dari saingan politik negara lalu menggesa supaya PAS menyertai Jamaah Tabligh dan Tarikat Sufi.

Secara tidak langsung mereka sebenarnya telah memberi penghormatan tinggi kepada PAS dengan gesaan tersebut justeru Jamaah Tabligh dan Kumpulan Tarekat adalah sahabat PAS dipentas dakwah Islam dan Amal Islami.

Mereka jahil tentang perjuangan PAS. Mereka gagal memahami seni politik yang dibawa oleh PAS. Tidak tergapai dek aqal mereka bagaimana PAS berpencak di pentas politik guna melunaskan tanggungjawab perjuangan Islam. Mereka sangka, Islam tidak boleh diperjuangkan di pentas politik.

Secara peribadi, saya maafkan mereka justeru mereka perlu lebih masa untuk memahami seni politik matang dan sejahtera yang dilaksanakan oleh PAS dalam saingan politik negara masakini. Biarlah saya tegaskan kembali bahawa:

i – Dasar perjuangan PAS adalah Islam. Penegasan ini boleh dirujuk pada Perlembagaan PAS Fasal ke-3. Islam ertinya tunduk dan patuh kepada Allah swt. Kepatuhan dan ketundukan itu adalah bermaksud untuk meraih Redha Allah swt.

ii – PAS pula ditubuhkan untuk memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum hakamnya menuju keredhaan Allah swt. Juga mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara. Objektif ini tercatat di dalam Perlembagaan PAS Fasal ke-5.

iii – Antara usaha PAS ialah menyeru ummat manusia kepada Syariat Allah swt dan Sunnah RasulNya saw melalui dakwah secara lisan, tulisan dan amalan. Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syariat serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai keislaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan. Perkara ini termaktub di dalam Perlembagaan PAS Fasal ke-6 di bawah tajuk usaha-usaha PAS.

Biarpun halangan sebesar gunung, PAS tidak pernah gentar mendepaninya demi melunaskan cita-cita perjuangan Islam. Perlembagaan PAS, Fasal ke-4 menegaskan bahawa Seruan PAS ialah Allahu Akbar (Allah Yang Maha Besar). Tiada yang lebih besar dan hebat selain Allah swt. Tiada siapa yang boleh menghalang dan menyekat perjuangan untuk menegakkan agama Allah swt. – HARAKAHDAILY 11/3/2017

- Advertisement -