Perkongsian Dari Parlimen: Keselamatan sempadan

- Advertisement -

TUAN Haji Nasrudin bin Hassan [Temerloh] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan keadaan keselamatan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand dan langkah-langkah yang dilaksanakan bagi meningkatkan jaminan keselamatan khususnya di pintu-pintu masuk ke negara ini.

- Advertisement -

JAWAPAN

Tuan Yang Di-Pertua,

Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa melihat isu keselamatan sempadan  serta kedaulatan negara sebagai elemen yang signifikan kepada kesejahteraan hidup rakyat dan pembangunan negara secara berterusan. Malaysia tidak terkecuali dalam menghadapi pelbagai bentuk ancaman yang boleh menggugat keselamatan dan kedaulatan negara. Justeru itu, keselamatan sempadan diperketat dari masa ke semasa supaya tidak mudah dibolosi oleh anasir-anasir luar yang boleh mengganggu gugat kestabilan negara.

Sempadan negara dipisahkan oleh daratan atau perairan atau kedua-duanya sekali dengan Indonesia, Brunei, Thailand, Singapura dan Filipina. Sempadan Malaysia-Thailand di bahagian utara meliputi Bukit Batu Putih, Perlis hingga Bukit Bunga, Kelantan dipisahkan oleh daratan sejauh 551 kilometer dan sempadan thalweg dari Bukit Bunga, Kelantan hingga Pengkalan Kubor, Kelantan sejauh 105 kilometer.

Kerajaan sentiasa memberi fokus agar sempadan Malaysia-Thailand sentiasa terkawal dengan mengambil pendekatan dan langkah-langkah seperti berikut:-

i) penubuhan Agensi Kawalan Sempada Malaysia (AKSEM) sebagai satu inisiatif bagi meningkatkan kawalan di sempada Malaysia bagi mencegah aktiviti penyeludupan. Agensi penguatkuasaan di bawah AKSEM adalah polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imiggresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara. Bagi menentukan halatuju AKSEM, Akta AKSEM akan digubal bagi memperkukuh serta memperluas skop memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan termasuk Sabah dan Sarawak;

ii) kajian menaiktaraf pagar keselamatan sedia ada dan juga pembinaan pagar keselamatan baharu di sempadan dengan memberi tumpuan penggunaan peralatan canggih seperti drone, cctv, mesin pengimbas untuk mengesan pergerakan dan barangan yang dibawa masuk dan keluar Malaysia;

iii) penubuhan Unit Risikan Sempadan (URB) yang berfungsi untuk mendapatkan maklumat risikan dan bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand untuk bertukar-tukar maklumat antara kedua-dua negara;

iv) mengadakan mesyuarat Review of Joint Malaysia-Thailand Working Committee on Criminal Activities di peringkat PDRM dan Polis Diraja Thailand;

v) mengadakan mesyuarat bilateral tahunan antara Pasukan Gerakan Marin (PGM) PDRM dengan Royal Thai Marine Polis (RTMP) untuk mengadakan aktiviti Rendevous (RV) di pantai barat dan timur semenanjung Malaysia iaitu Markas Taktikal PGM Wilayah 3, Pengkalan Kubor, Kelantan bersama RTMP Narathiwat, Thailand manakala disebelah pantai barat pula Markas Operasi PGM Wilayah 1 Langkawi, Kedah bersama RTMP Satun, Thailand;

vi) mengadakan kempen kesedaran jenayah di kalangan masyarakat setempat terutamanya penduduk di tepi tebing sungai melalui Program Community Policing yang turut melibatkan RTMP dan ketua masyarakat sempadan Thailand. Melalui program ini kedua-dua pihak akan memahami keperluan untuk mematuhi undang-undang kedua-dua buah negara; dan

vii) bermula pada tahun 2017, setiap AKSEM negeri telah melaksanakan operasi secara NBOS yang disertai oleh agensi-agensi penguatkuasaan lain di sempadan darat negara dengan kekerapan dua kali seminggu dengan memfokuskan operasi di kawasan ICQ Padang Besar bagi membendung jenayah rentas sempadan.

Secara keseluruhannya, keselamatan sempadan Malaysia-Thailand ketika ini berada pada tahap terkawal dan pihak berkuasa berupaya menangkis sebarang ancaman luar yang cuba mencerobohi sempada negara. Keselamatan di sempadan Malaysia akan sentiasa diberi perhatian khusus namun pada masa yang sama keupayaan kewangan kerajaan perlu diberi perhatian mengambil kira kos tinggi bagi menyediakan prasarana dan kekuatan anggota pasukan penguatkuasaan di sempadan Malaysia.

Nasrudin Hassan
Ahli Parlimen Temerloh
9 Mac 2017 / 10 Jamadilakhir 1438 – HARAKAHDAILY 9/3/2017

- Advertisement -