Hasil Terengganu dijangka RM1b setahun di bawah PAS

- Advertisement -

PAS Terengganu akan berusaha meningkatkan pendapatan negeri itu sebanyak RM1 bilion setahun jika diberi mandat memerintah negeri itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

- Advertisement -

Hasil itu dijangka diperolehi dengan cara mengeksploitasi tujuh sektor industri yang tidak diberi perhatian serius oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) hari ini.

Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Dr Alias Razak berkata, ini termasuk sektor sumber asli, pertanian, perikanan, pelancongan dan lain-lain.

Katanya, hasil itu tidak termasuk dana khas dari hasil petroleum sebanyak RM430 juta setahun dan semua hasil itu akan dibelanjakan untuk rakyat negeri itu secara efisien dan berhemah.

Jika dikira dengan hasil dana khas itu, kerajaan negeri Terengganu akan memperolehi pendapatan lebih dari RM1 bilion setahun dan cara perbelanjaan berhemah kerajaan PAS negeri itu akan lebih baik dilaksanakan berbanding perbelanjaan hasil RM2 bilion di bawah kerajaan BN.

Ini kerana katanya, Kerajaan BN memang popular dengan amalan rasuah dan ketirisan serta urustadbir tidak cekap dalam pentadbiran kerajaan itu sejak dahulu sehingga sekarang.

Beliau berkata demikian dalam satu siri wawancara bersama Harap TV di Pejabat Badan Perhubungan PAS negeri di Kuala Terengganu, kelmarin.

Dr Alias mengupas mengenai lima tawaran awal manifesto parti itu, jika diberi mandat memerintah Terengganu selepas PRU14, dalam wawancara tersebut.

Katanya, PAS melihat negeri Terengganu kaya dengan sumber asli yang belum dieksploitasikan lagi oleh kerajaan BN sehingga kini.

Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Tunggal, banyak sektor tidak dimanfaat kerajaan sekarang termasuk air mentah Tasik Kenyir, bijih besi, emas, bauksit, silika dan lain-lain.

“Banyak sektor kerajaan Terengganu hari ini tidak dimanfaatkan antaranya ialah air mentah di Tasek Kenyir, kita boleh berniaga dengan negeri berhampiran.

“Banyak lagi sektor lain tidak diberi tumpuan sepenuhnya termasuk sektor pelancongan, perikanan, pertanian, sumber asli seperti bijih besi, emas, bauksit, silika yang bermutu tinggi, tidak dieksploit sebaiknya sebelum ini,” katanya dipetik Buletin Online.

Beliau menjelaskan bahawa PAS akan menjadikan sektor-sektor berkenaan sebagai peluang pekerjaan kepada rakyat negeri Terengganu dengan melaksanakan projek memproses sumber asli dalam bentuk semi proses dan produk yang diproses sepenuhnya.

Ini, tambahnya termasuk pemberian satu lot tanah bergeran kekal untuk tapak rumah kepada rakyat negeri itu, mengurniakan rumah mampu milik kepada rakyat yang tidak memiliki rumah sendiri, khususnya kepada mereka yang sudah berkahwin, bayaran wad percuma untuk kelas ketiga di hospital kerajaan dan karnival perkahwinan kali pertama percuma kepada pengantin baru.

- Advertisement -