Solat hajat seluruh negara

- Advertisement -

PAS menganjurkan solat dan munajat diadakan seluruh negara, khusus mendoakan keselamatan 11 orang warga Malaysia yang merupakan kakitangan Kedutaan Malaysia di Korea Utara yang masih dihalang meninggalkan negara itu supaya mereka boleh kembali ke tanah air dengan selamat.

- Advertisement -

Solat dan munajat tersebut hendaklah diadakan di peringkat kawasan masing-masing seluruh negara pada:

Tarikh: 9 Mac 2017
Hari: Khamis
Masa: 8.45 malam (selepas solat Isyak)
Tempat: Seluruh negara

Pada masa yang sama, semua ahli PAS dinasihatkan tidak mudah terpedaya dengan pelbagai propaganda di media sosial yang tidak berfakta dan bertanggungjawab. Tidak menyebarkan sebarang spekulasi yang tidak berasas bagi menimbulkan ketegangan yang tidak wajar.

Sebaliknya merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh YB Datuk Seri Tuan Guru Presiden PAS.

Inilah Penyelesaian Kita

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat

Kenyataan Dewan Ulamak PAS Pusat

Dewan Ulamak PAS Pusat menyeru agar seluruh rakyat Malaysia bersatu dalam menghadapi isu keselamatan negara rentetan daripada ketegangan yang berlaku selepas Kerajaan Korea Utara menyekat duta, petugas malah rakyat Malaysia yang berada di Korea Utara untuk pulang ke tanah air.

Tindakan itu bercanggah dengan konsep diplomatik antarabangsa, malah bertentangan dengan apa yang dianjurkan oleh Islam yang memberikan perlindungan kepada mereka yang menjadi utusan kerajaan dan mereka yang tidak bersalah.

Kerajaan Malaysia perlu mengambil langkah serius untuk menangani masalah ini daripada berlarutan. Konflik ini, perlu diselesaikan sebaik mungkin, dan jalan diplomasi perlu sentiasa menjadi pilihan utama negara pada ketika ini bagi menjamin keselamatan negara dan juga rakyat Malaysia yang terkandas di sana.

Rakyat Malaysia juga diseru untuk sama-sama bersatu dalam berhadapan dengan krisis ini. Kita perlu meminta petunjuk dan bimbingan Allah Ta’ala dalam berhadapan dengan krisis ini. Solat hajat memohon supaya krisis ini selesai dalam keadaan yang baik dan damai perlu diadakan di setiap peringkat.

Bagi peringkat Dewan Ulamak PAS, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat Datuk Dr Mahfuz Mohamed telah mengeluarkan arahan supaya Dewan Ulamak PAS negeri dan Urusan Ulamak kawasan mengepalai solat hajat di negeri dan kawasan masing-masing.

Kedaulatan dan keselamatan negara adalah tanggungjawab bersama dan ianya adalah keutamaan yang tertinggi pada masa sekarang mengatasi perbezaan di kalangan kita.

Ustaz Haji Muhammad Ismi Mat Taib
Ketua Lajnah Antarabangsa Dewan Ulamak PAS Pusat
8 Mac 2017 / 9 Jamadil Akhir 1438 – HARAKAHDAILY 8/3/2017

- Advertisement -