Kenapa ada orang kata perangi rasuah lebih penting dari RUU355?

- Advertisement -

KENAPA ada sebahagian orang yang masih menganggap agenda RUU355 tidak begitu penting jika dibandingkan dengan agenda memerangi rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan dan seumpamanya?
Kerana mereka berfikir sekerat jalan. Mereka hanya fikir tentang ‘masalah’, tapi mereka tak mampu fikir tentang ‘solusi’; cara menyelesaikan masalah.

- Advertisement -

Apabila sebut perangi rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan, cepat sahaja mereka setuju penuh semangat. Ini kerana ia terus merujuk kepada ‘masalah’ iaitu RASUAH, PENYELEWENGAN, SALAH GUNA KUASA. Tetapi bila disebut RUU355, perkataan ini agak kompleks. Memerlukan pengamatan dan pemerhatian.

Hakikatnya, RUU355 adalah ‘solusi’ kepada masalah JENAYAH, GEJALA SOSIAL dan KEMUNDURAN EKONOMI. Sedangkan slogan perangi rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa itu hanya sebuah pernyataan ‘masalah’ dan retorik kosong, tanpa ‘solusi’.

Rasanya kalau kempen RUU355 dibawa melalui naratif memerangi ‘masalah’ JENAYAH, KEMUNDURAN EKONOMI, GEJALA SOSIAL tentu sekali orang lebih mudah menerima. Semua pihak akui jenayah di Malaysia bahkan di dunia semakin menjadi-jadi. Semua setuju bahawa alkohol menjadi faktor besar jenayah, gejala sosial, kemalangan dan kemunduran. Ramai berpendapat negara yang tidak aman dari jenayah dan kemalangan, boleh menjejaskan kemasukan pelabur asing ke dalam negara, lalu menyumbang kepada kemunduran ekonomi.

Jadi, RUU355 adalah ‘solusi’ kepada semua ‘masalah’ di atas. Kurangkan bercakap tentang teknikal pindaan, tentang teknik pelaksanaan hukuman dan prosedur-prosedur undang-undang yang kompleks. Susah nak menerobos ke minda awam yang tak tahu hujung pangkal.

Orang yang membawa slogan memerangi masalah rasuah, ekonomi, penyelewengan bagai itu sekadar menceritakan masalah, tetapi tidak memiliki solusi tuntas untuk menyelesaikan masalah. Mereka hanya mencanangkan slogan dan retorik, tetapi apabila diminta solusi yang praktikal, mereka diam. Hanya berjanji akan berintegriti, akan beramanah, akan berkaliber dan sebagainya. Tetapi pelan strategik atau kaedah untuk membentuk budaya kerja yang amanah, integriti dan berkaliber tidak ada.

Malah, mereka menunjukkan perkara sebaliknya. Isu air di Selangor, isu banglo Lim Guan Eng, penambakan laut di Penang, campur tangan fatwa, menentang RUU355 yang diputuskan mahkamah tidak bercanggah dengan perlembagaan. Semua isu ini tidak menggambarkan integriti, amanah dan profesionaliti.

Tapi orang kita mudah percaya dengan ‘retorik’ indah melebihi ‘solusi’ yang tuntas. Lebih suka bersorak bertakbir apabila dengar ‘masalah’ yang dikemukakan. Apabila dengar ‘solusi’, lambat faham dan malas berfikir. Mentaliti sebegini yang mudah dimanipulasi media tak berintegriti.

Saya tidak sesekali berpendapat isu rasuah dan salah guna kuasa itu tidak penting, tetapi tiada guna bercakap tanpa mengemukakan solusi. Jangan jadikan semua isu itu hanya bahan politik untuk meraih kuasa, tetapi apabila berjaya meraihnya, berperangai dua kali lima sahaja atau lebih teruk.

Saya teringat retorik-retorik perjuangan Aun San Suu Kyi. Sebelum menang, berbagai slogan dan janji ditabur. Kononnya nak mengembalikan demokrasi negara. Tetapi selepas menang, bersikap double standard kepada wartawan beragama Islam. Konon nak selesaikan isu Rohingya. Tapi selepas menang, mereput membisu tanpa mempedulikan Rohingya lagi.

Malangnya seperti Myanmar dan Malaysia, negara dunia ketiga memang mudah termakan politik jenis begini. Politik jenis ini tidak akan memajukan negara. Berpolitiklah dengan idea dan solusi. Barulah setanding negara-negara maju. – HARAKAHDAILY 8/3/2017

- Advertisement -