Situasi semasa demam denggi, zika dan chikungunya di Malaysia

- Advertisement -

TERDAPAT enam kes kematian dilaporkan sepanjang minggu kelapan tahun ini menjadikan kumulatif kematian denggi sehingga 25 Februari 2017 adalah sebanyak 40 kematian, berbanding 54 kematian bagi tempoh yang sama tahun 2016, iaitu penurunan sebanyak 14 kematian (26%).

- Advertisement -

Demikian dinyatakan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan akhbar, hari ini, sebagaimana di bawah.

Pada minggu Ke-8 tahun 2017, iaitu dari 19 Februari hingga 25 Februari 2017, sejumlah 1,937 kes Demam Denggi telah dilaporkan iaitu peningkatan sebanyak 22 kes (1.1%) berbanding 1,915 kes pada minggu sebelumnya namun terdapat lima (5) negeri yang menunjukkan peningkatan kes berbanding minggu sebelumnya iaitu Perak, WP Kuala Lumpur & Putrajaya, Melaka, Kedah dan Pahang. Jumlah kumulatif kes yang dilaporkan dari bulan Januari sehingga 25 Februari 2017 adalah 14,513 kes, berbanding 25,403 kes bagi tempoh yang sama tahun 2016, iaitu penurunan sebanyak 43% (10,890 kes).

Terdapat enam (6) kes kematian dilaporkan sepanjang Minggu Ke-8 menjadikan kumulatif kematian Denggi sehingga 25 Februari 2017 adalah sebanyak 40 kematian, berbanding 54 kematian bagi tempoh yang sama tahun 2016, iaitu penurunan sebanyak 14 kematian (26%).

Pemantauan lokaliti wabak Demam Denggi menunjukkan sebanyak 678 lokaliti wabak yang masih aktif manakala terdapat 94 lokaliti hotspot semasa yang melibatkan 5 buah negeri iaitu di Selangor (69 lokaliti), Perak (15 lokaliti), WPKL & Putrajaya (4 lokaliti) dan masing-masing 3 lokaliti di Johor serta Negeri Sembilan.

Pada Minggu ke-8 tahun 2017, tren kes denggi telah menunjukkan peningkatan semula, bagi orang ramai yang berada di kawasan berwabak digalakkan untuk menggunakan semburan racun aerosol untuk kegunaan di dalam rumah dan beri kerjasama sepenuhnya kepada anggota kesihatan yang menjalankan aktiviti semburan kabus di kawasan anda, di samping memastikan persekitaran rumah bebas dari pembiakan Aedes.

Bermula pada 15 Februari 2017 sehingga 2 Mac 2017, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menerima laporan mengenai kejadian kes Chikungunya dari Baling, Kedah dan Gombak, Selangor. Bagi tempoh tersebut terdapat 50 kes disahkan dengan ujian darah yang positif untuk Chikungunya iaitu melibatkan sebanyak 36 kes dilaporkan dari Daerah Baling, Kedah dan 14 kes dari di Daerah Gombak, Selangor. Kes terakhir dilaporkan dari Baling, Kedah dan Gombak, Selangor adalah pada 1 Mac 2017. Terdapat 5 lokaliti yang melaporkan kes  Chikungunya iaitu 4 lokaliti di Daerah Baling, Kedah dan satu lokaliti di Gombak, Selangor. Empat (4) lokaliti yang melaporkan kes di Baling, Kedah adalah di Taman Batu Pekaka, Jalan Market, Taman Orkid, Taman Insaniah, Taman Sheikh Fadzir dan Taman Tanjung Puteri dan Kampung Jernang, manakala satu lokaliti di Kg. Simpang Tiga, Gombak, Selangor. Simptom penyakit Chikungunya termasuk demam, ruam biasanya membabitkan kaki, tangan dan badan, dan sakit badan atau sakit sendi yang boleh menjadi teruk sehingga menghadkan pergerakan pesakit. Terdapat juga pesakit yang mengalami sakit kepala dan jangkitan conjunktiva.

Bagi situasi jangkitan Zika, terdapat sebanyak 76 buah negara melaporkan jangkitan virus Zika berdasarkan laporan terkini yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bertarikh 2 Februari 2017. Di Malaysia, terdapat sebanyak lapan (8) kes disahkan positif jangkitan virus Zika yang telah dilaporkan sepanjang tempoh dari 1 September 2016 sehingga 31 Disember 2016. Pemantauan sistem survelan virus Zika oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dari 1 Januari sehingga 25 Februari 2017, mendapati keputusan ujian bagi 235 sampel darah dan air kencing di kalangan pesakit yang menunjukkan gejala jangkitan virus Zika adalah negatif.

Memandangkan transmisi jangkitan Denggi, Chikungunya dan Zika adalah melalui vektor yang sama iaitu nyamuk Aedes. Oleh itu, KKM menyeru agar masyarakat meningkatkan aktiviti pencegahan seperti membersihkan kawasan kediaman dan premis masing-masing serta menghapuskan tempat pembiakan Aedes. Rumah kediaman atau bangunan juga disarankan untuk memasang jaringan nyamuk di tingkap dan pintu rumah. Masyarakat juga disarankan menggunakan semburan aerosol bagi menghapuskan nyamuk dewasa terutama di belakang langsir atau bawah meja dalam rumah. Selain itu, individu perlu mengamalkan langkah perlindungan diri seperti memakai pakaian cerah yang menutup anggota dan menggunakan repelen. Selain itu, orang ramai perlu mendapatkan rawatan segera jika mempunyai gejala-gejala Denggi , Zika dan Chikungunya seperti demam, sakit sendi dan ruam. Tiada Aedes, Tiada Denggi, Zika dan Chikungunya.

 

- Advertisement -