Tarbiyah qalbiyah: Hati yang thiqah dengan kepimpinan

- Advertisement -

SEBAHAGIAN ahli-ahli bertanya apakah persiapan dan bekalan yang utama untuk menghadapi PRU14. Maka dalam situasi politik hari ini persiapan yang paling utama kepada ahli disemua peringkat ialah persiapan hati. Dan sifat hati yang paling utama ialah Hati Yang Thiqah.

- Advertisement -

قال الشهيد الامام حسن البنا في الثقة (وأريد بالثقة اطمئنان الجندي إلى القائد في كفاءته وإخلاصه، اطمئنانا عميقا ينتج الحب والتقدير والاحترام والطاعة)

Berkata As-Syahid Imam Hasan Al-Banna: “Yang aku maksudkan dengan ‘Thiqah’ ialah berlapang dada/tenang/percaya dan yakin serta rasa puas seorang tentera (amilin/pejuang) kepada pemimpin dalam hal berkaitan kemampuan dan keikhlasannya (pemimpin) dengan lapang dada/tenang dan yakin yang mendalam yang dapat menatijahkan rasa cinta, penghargaan, penghormatan dan ketaatan”.

Bermula sekarang hati kita semua mesti ditarbiyah agar bersifat dengan sifat berlapang dada, tenang, percaya dan yakin kepada Mursyidul Am dan Majlis Syura, Tuan Guru Presiden serta seluruh saf kepimpinan PAS Pusat.

Thiqah pada kepimpinan merupakan hal dalaman dari sudut rasa ketenangan dan keyakinan para ahli terhadap kemampuan, keikhlasan, sifat amanah para pemimpin serta rasa tersebut adalah cukup mendalam.

Di antara petanda gerak kerja yang menzahirkan bahawa hati para ahli mempunyai thiqah kepada pemimpin ialah hormatnya seorang ahli/amilin kepada pimpinan dan dia mentaati semua arahan yang diberi tanpa sedikit pun rasa berbelah bahagi atau rasa kekurangan apatah lagi terselit rasa ingin mengingkari dan menyelewengkan arahan.

Natijah yang terhasil daripada tiqah dalam hati para ahli ialah rasa kasih, rasa penghargaan, rasa hormat dan hati yang taat sepenuhnya kepada pimpinan.

Renungkan sebuah ibarat bagaimana seharusnya seorang ahli/amilin/murabitun/pejuang berinteraksi kepada pemimpin.

في دعوة الإخوان حق الوالد بالرابطة القلبية، والأستاذ بالإفادة العلمية، والشيخ بالتربية الروحية، والقائد بحكم السياسة العامة للدعوة، ودعوتنا تجمع هذه المعاني جميعا.

Maksudnya: “Dalam dakwah ikhwan (hubungan amilin dan pemimpin) sebagaimana hak seorang ayah dalam hubungan hati, hak seorang guru dalam pengambil manfaat ilmu, hak seorang syeikh dalam pendidikan rohani/proses tarbiyah keruhanian dan hak pemimpin dalam menentukan percaturan politik secara umum bagi dakwah. Dakwah kita menghimpunkan nilai-nilai tersebut secara keseluruhan”.

Kesimpulan

Maka diibarat TG Mursyidul Am & TG Presiden serta seluruh kepimpinan tertinggi merupakan seorang ayah yang mesti disayangi sehingga jauh dilubuk hati, seorang guru yang mesti dihormati, seorang Syiekh yang mesti dipercayai, diyakini dan dijaga adab juga seorang pimpinan politik yang mesti ditaati segala arahan serta dipercayai setiap strategi yang disusun demi kemenangan Islam.

Inilah bekalan terbaik kepada para ahli dan pimpinan di semua peringkat selain daripada yang telah kita semua maklum bekalan iman dan taqwa serta yakin bahawa kemenangan dari Allah, keberkatan dari mengikut Rasulullah SAW dan kejayaan dari sifat yakin dengan Islam dan taat pada kepimpinan ulamak. Jikalau ulamak pewaris Nabi SAW tidak lagi kita thiqah kepada siapa lagi?

Semoga Allah Ta’ala menganugerahkan kepada kita seketul hati yang thiqah kepada pemimpin dan kepimpinan ulamak pewaris Nabi SAW.

Al Faqir Nik Bakri Nik Mat
Pengerusi Lajnah Tarbiyah DUPNS

- Advertisement -