Ayuh dialog, bukan keruhkan keadaan

LAJNAH Perpaduan Nasional dan Hubungan NGO Dewan Pemuda PAS Malaysia menyelar kenyataan tidak berasas yang dikemukakan peguam, Siti Kassim dan Hindraf berhubung kehadiran pendakwah terkemuka, Dr Zakir Naik ke negara ini yang diberi ruang oleh kerajaan Malaysia.

Advertisement

Pihak kami amat mengalu-alukan tindakan kerajaan memberikan ruang untuk Dr Zakir seorang pendakwah terkenal untuk berada di negara ini bagi meneruskan kerja dakwah beliau.

Kami meminta kepada semua pihak khasnya Hindraf dan Siti Kasim supaya tidak menambahkan isu yang boleh mencetus ketegangan kaum dan mengambil kesempatan di atas isu ini untuk tujuan politik sempit.

Seluruh rakyat memahami bahawa Malaysia merupakan sebagai sebuah negara Islam dan berdasarkan perlembagaan persekutuan yang menyatakan Islam sebagai agama rasmi maka tidak salah membenarkan pendakwah seperti Dr Zakir meneruskan kerja dakwah di negara ini.

Apa yang lebih baik adalah semua pihak duduk semeja berdialog dan bertukar fikiran melerai kekeliruan serta mencapai kata sepakat.

Malah pada kami sepatutnya pihak yang menentang kehadiran tokoh pendakwah itu  mengadakan pertemuan dengan Dr Zakir bagi mengadakan dialog dengan pendakwah terkenal itu.

Dialog perbandingan agama bukanlah perkara baharu dalam isu antara agama ini bahkan sudah acapkali diadakan seluruh dunia. Dialog yang harmoni adalah seruan para cendekiawan dunia bagi memastikan keamanan dunia dan mengelakkan ketegangan peradaban. Dr Zakir Naik didalam dialognya mengambil pendekatan ini dengan baik sekali.

Kami amat mengharapkan agar isu sebegini tidak dijadikan modal politik mahupun sentimen perkauman sempit oleh mereka-mereka yang bergerak kononnya atas nama hak asasi manusia yang pada akhirnya akan menzahirkan agenda yang tersirat iaitu menjadikan Islam sebagai sasaran untuk diburukkan imejnya.

Ayuh bertindak matanglah dalam segenap perkara agar keharmonian negara dapat dijaga dengan baik. Ayuh bersama melestarikan budaya berdialog sepertimana agenda yang dibawa PAS iaitu Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS). Lajnah Perpaduan Nasional dan Hubungan NGO DPPM bersedia menjadi penganjur sesi dialog antara Dr Zakir Naik dan Hindraf sekiranya semua pihak bersetuju duduk semeja.

USTAZ MOHAMAD IBRAHIM
Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional dan Hubungan NGO Dewan Pemuda PAS Malaysia.