Muzakarah para mufti

- Advertisement -

ISU Pindaan Akta 355 masih terhangat di pasaran. Perbahasan mengenainya menarik perhatian pelbagai pihak dan terkini tumpuan teralih kepada usaha para ilmuan Islam untuk membahas dan mendebatkannya secara terbuka.

- Advertisement -

Biasanya pindaan sesuatu akta hanya mengambil ruang bahas atau debat di galeri parlimen dan terhad kepada 222 orang ahli parlimen sahaja. Berbeza dengan Akta 355,  cadangan untuk memindanya telah mendapat perhatian semua pihak dan diperbahaskan secara terbuka.

Satu sudut, ia adalah satu perkembangan yang sangat baik. Secara tidak langsung, isu pindaan Akta 355 ini telah “merakyatkan parlimen dan memparlimenkan rakyat”.

Andai masih ada Ahli Parlimen yang tidak memahami isu pindaan Akta 355, maka kini sudah ada rakyat yang memahaminya dan mendesak supaya Ahli Parlimen tidak menentang bahkan menyokong agar Akta 355 dipinda.

Malah terdapat juga rakyat yang berperanan bagai ahli parlimen dalam membahaskan isu Pindaan Akta 355 tersebut. Sekali gus membuktikan negara tidak tandus bakal ahli parlimen dan pemimpin yang mampu, berkaliber dan bertanggungjawab terhadap agama dan negara untuk dipilih mewakili rakyat ke Parlimen.

Isu Pindaan Akta 355 ini selayaknya lah dibahas secara ilmiah, jujur dan tenang. Para cendikiawan Islam mestilah memandunya dengan pendekatan yang terbaik.

Semoga hasilnya memulangkan manafaat yang besar kepada proses memperkasakan syariat di Malaysia, bukan meretakbelahkan ummat Islam dengan pelbagai kekeliruan dan akhirnya menjadi fitnah kepada Islam dan ummatnya.

Hari ini saya terbaca satu laporan media yang menyiarkan bahawa Sohibus Samahah Datuk Dr Asri Zainul Abidin selaku Mufti Perlis pula mahu berdebat dengan YB Datuk Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, Ahli Parlimen Marang merangkap Presiden PAS. Beliau adalah orang yang bertanggungjawab membawa Rang Undang-Undang Persendirian bagi maksud meminda Akta 355 di Parlimen.

Saya tertarik dengan pandangan dari seorang rakan saya yang juga Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat, Sdr Amzad Hashim bahawa tiada kewajaran debat Datuk Dr Asri dengan YB Datuk Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi. Sebaliknya apa yang wajar dan perlu ialah dianjurkan muzakarah yang melibatkan semua para mufti bersama YB Datuk Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang memandangkan isu ini sangat penting dan para mufti selayaknya mengangkat satu keputusan yang muktamad dari muzakarah tersebut ke arah meninggikan syariat Allah swt di bumi bertuah ini.

Objektifnya ialah supaya Ashabus Samahah Para Mufti mendapat penjelasan langsung dari orang yang bertanggungjawab membawa RUU Persendirian untuk meminda Akta 355 lantas membahaskannya dan sekali gus menyelaraskan kefahaman dan keputusan serta tindakan dari pihak mufti-mufti di Malaysia ini.

Firman Allah swt:

أن أقيموا الدين و لا تتفرقوا فيه

Bahawa kamu mestilah menegakkan agama dan jangan sekali-kali kamu berpecah padanya. (Surah Asy Syura: 13)

Inilah Penyelesaian Kita

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat – HARAKAHDAILY 2/3/2017

- Advertisement -