Kerajaan wajar pertimbang GST atasi kenaikan kadar inflasi

- Advertisement -

PENINGKATAN kadar inflasi sehingga ke paras 3.2 peratus pada Januari 2017 menunjukkan betapa peritnya kos sara hidup yang sedang ditanggung oleh rakyat. Tidak sesekali dinafikan faktor semasa yang mendorong peningkatan kadar tersebut berpunca dari peningkatan mendadak harga bahan api dalam negara selain penyusutan nilai ringgit yang berterusan. Impaknya, kos pengangkutan dan sektor makanan menunjukkan kesan inflasi yang agak ketara.

- Advertisement -

Di sebalik pelbagai janji yang sering diulang-ulang pihak kerajaan terutamanya menjelang pembentangan bajet setiap tahun, masalah kos sara hidup nampaknya tidak kelihatan semakin reda. Apa yang dilaksanakan pemerintah tidak pernah memperbaiki kesejahteraan rakyat diibarat sebagai “tikus membaiki labu”.

Kita melihat peningkatan perbelanjaan awam (private consumption) kepada KDNK setiap tahun. Pada 2017, jumlah itu dianggarkan berjumlah RM627 bilion iaitu 54.2 peratus KDNK. Persoalannya, adakah itu menunjukkan rakyat semakin banyak berbelanja atau sebenarnya jumlah barangan yang dibeli semakin menguncup disebabkan faktor inflasi yang tinggi? Kerajaan seharusnya bersikap objektif dalam hal ini.

Hakikat yang perlu diterima adalah kuasa membeli (purchasing power) rakyat semakin melemah ketika ini. Jumlah barangan yang dibeli rakyat semakin berkurang sebaliknya harga yang terpaksa dibayar pula semakin tinggi. ‘Real income’ rakyat semakin rendah meskipun disokong dengan bantuan BR1M dan sebagainya.

PAS tetap bertegas menolak pelaksanaan GST yang menjadi titik asas peningkatan kos sara hidup ini. Ironinya, setiap tahun kerajaan begitu bangga dengan peningkatan kadar kutipan GST, walhal, bukankah peningkatan itu hasil dari keperitan rakyat yang berbelanja setiap hari?

Pada 2015, jumlah kutipan mencecah RM27 bilion sebelum meningkat kepada RM38 bilion pada 2016. Jumlah kutipan dijangka terus meningkat sebanyak 4 peratus kepada RM40 bilion pada 2017. Lebih malang lagi apabila peningkatan jumlah kutipan yang ditunjukkan itu diselangi pula dengan potongan terhadap beberapa perbelanjaan sosial seperti peruntukan kepada universiti awam.

Maka, kini yang bermasalah bukan sahaja bagaimana GST itu diperolehi malah juga ke mana ia dibelanjakan?

Justeru, peningkatan mendadak kadar inflasi pada Januari ini seharusnya menjadi suatu indikator kepada kerajaan supaya memperhalusi semula polisi-polisi yang membebankan rakyat terutamanya sistem cukai GST. Tidak menjadi suatu kesalahan jika kerajaan mengambil suatu pendirian melaksanakan kajian penilaian impak (impact evaluation) mahupun penilaian terhadap sejaumana relevennya GST (relevance evaluation) untuk dilaksanakan.

Pertimbangan kerajaan terhadap GST merupakan langkah yang tepat pada masanya memandangkan peningkatan harga minyak mentah dunia yang stabil pada paras USD56 per barel ketika ini berbanding USD52 per barel pada 2015, malah lebih tinggi jika dibandingkan ketika semakan Bajet 2016 yang dilaksanakan pada Januari 2016 iaitu sekitar anggaran USD48-30 per barel.

Peningkatan harga minyak mentah dunia itu seharusnya meningkatkan pendapatan kerajaan terutamanya berkaitan dengan hasil minyak (oil-related revenue). Tahun lalu, jumlah pendapatan daripada keseluruhan hasil minyak hanya mencapai 14.6 peratus dan dengan jangkaan harga semasa minyak mentah dunia, pendapatan negara sudah pasti akan melonjak.

Maka, sebaiknya kerajaan melaksanakan ‘revision’ terhadap aspek pelaksanaan GST yang sebelum ini dikatakan sebagai ‘offset’ bagi menyerap pendapatan yang rendah dari hasil minyak. Ini merupakan jalan terbaik sebelum kesejahteraan rakyat semakin membarah disebalik “kekayaan” yang disumbangkan kepada negara.

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)

- Advertisement -