Jenayah Syariah: Denda terlalu rendah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) Datuk Zainul Rijal Abu Bakar mengakui hukuman denda yang dikenakan sekarang kepada pesalah jenayah syariah terlalu rendah membuatkan pesalah tidak serik untuk mengulangi kesalahan yang sama.

- Advertisement -

Bercakap berdasarkan pengalamannya sebagai peguam Zainul berkata misalnya seorang pelacur mengaku melakukan kesalahan atas dakwaan zina tetapi denda yang dikenakan itu akan dibayar oleh pihak lain di belakang pelacur terbabit.

“Pelacur mengaku bersalah, denda RM3000. Selepas kes itu ada seseorang di belakang pelacur itu yang akan membayarnya. Bayar sahaja. Sebab malam boleh kerja lagi.

“Saya rasa apabila denda RM3000 tidak dapat hindar kesalahan sebab boleh buat lagi kerana tauke duduk di belakang. Dia tidak boleh didakwa sebab dia bukan Islam,” katanya di dalam Bicara Harakah di MyHarakah Bazaar hari ini.

Tegasnya, peningkatan bidang kuasa Mahkamah Syariah amat perlu bagi memartabatkan undang-undang Islam meliputi akhlak dan iman di kalangan umat Islam.

Sementara itu, seorang lagi penalis Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Musa Awang juga mengakui denda yang dikenakan tidak akan memberi kesedaran dan kesilapan kepada tauke-tauke yang berada di belakang pesalah.

“Yang datang itu bukan atas kesedaran tetapi mengaku bersalah sebab hendak bayar denda, tidak mahu panjang cerita kerana kadar denda paling tinggi RM5000.

“Kalau mereka mungkin dalam keadaan tidak bersalah atau terperangkap supaya lalukan khalwat dan tahu tidak bersalah tetapi untuk pergi ke proses bicara akan mengambil masa lama dan kos lagi tinggi daripada membayar denda. Lebih baik bayar denda yang rendah dan membuat pengakuan bersalah,” ujarnya.

Program Bicara Harakah yang bertajuk Pasca Himpunan 355, Syariah diperkasa rakyat sejahtera turut menjemput Exco Kelantan Datuk Dr Mohamed Fazli Hassan manakala moderatornya adalah Pengarah Institut Kajian Strategik Kelantan Dr Wan Nik Wan Yussof. – HARAKAHDAILY 2/3/2017

- Advertisement -